HARI Raya Aidilfitri ibarat kemuncak bagi menikmati makanan selepas sebulan berpuasa.
Pastinya menikmati makanan seperti lemang, ketupat, sate, rendang ayam, rendang daging, laksa, mi kari, kek, biskut dan air berkarbonat amat-amat dinantikan.
Dietitian Hospital Pakar KPJ Perlis, Nur Adilah Badrol Hisham berkata, tidak salah untuk menikmati makanan yang lazat semasa Aidilfitri namun ada ‘pantang-pantangnya’ bagi memastikan kesihatan sentiasa dalam keadaan terbaik.
Katanya, seseorang perlu mengawal jumlah kalori dan kadar pengambilan gula, garam dan juga lemak dalam juadah hari raya.
“Sebaiknya gunakan pinggan bersaiz kecil. Ambil dalam kuantiti sedikit jika ingin merasai pelbagai jenis makanan.
Malah digalakkan kita untuk mengisi perut dengan air kosong dan makanan yang seimbang dahulu sebelum keluar rumah untuk beraya supaya perut tidak kosong yang menyebabkan seseorang makan melebihi sepatutnya.
“Selain itu, ketika di rumah terbuka, utamakan makanan yang berkuah atau mengandungi sup selain itu lebihkan pengambilan sayur-sayuran,” katanya.
Dalam pada itu, Adilah berkata, makanan yang dipanggang seperti sate amat digalakkan untuk dimakan semasa Aidilfitri.
“Masakan panggang kurang kandungan lemak dan kalori berbanding makanan yang digoreng atau dimasak bersama santan. Namun elakkan makan secara berlebihan sate yang terdiri daripada lemak dan organ dalaman haiwan seperti sate hati, sate perut atau sate usus.
“Selain itu, gantikan santan dengan susu untuk memasak rendang ayam atau daging. Buang kulit ayam sebelum memasak bagi mengurangkan lemak.
“Sebaiknya ambil buah-buahan segar sebagai pencuci mulut berbanding buahan kordial yang sudah ditambah pengawet dan gula.
“Banyakkan minum air kosong semasa di rumah terbuka bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa dalam keadaan terbaik,” katanya.
INFO
Jenis juadah Aidilfitri dan jumlah kalori
1. Ketupat nasi satu biji (50 gram) – 80 kalori
2. Ketupat palas satu biji (50 gram) – 130 kalori
3. Lemang satu potong sederhana – 100 kalori
4. Lontong kuah lodeh semangkuk – 260 kalori
5. Soto ayam semangkuk – 347 kalori
6. Laksa semangkuk – 351 kalori
7. Serunding daging 50 gram – 235 kalori
8. Serunding ayam 50 gram – 213 kalori
9. Rendang ayam seketul dengan kuah – 140 kalori
10. Rendang daging satu senduk – 216 kalori
11. Biskut raya (secara purata) – 30 kalori
12. Dodol satu potong kecil – 75 kalori
13. Kek lapis satu potong sederhana – 73 kalori
14. Kek keju satu potong sederhana – 100 kalori
15. Kek coklat satu potong sederhana – 150 kalori
Tujuh panduan makan secara sihat semasa Aidilfitri
1) Makan dalam saiz hidangan atau kuantiti yang kecil.
2) Pilih makanan yang rendah kalori seperti buah-buahan serta makanan kurang minyak, lemak dan santan.
3) Pilih makanan yang tinggi serat bagi mengelakkan sembelit.
4) Hadkan pengambilan makanan yang manis dan berlemak seperti dodol.
5) Pilih buah-buahan segar sebagai snek atau pencuci mulut.
6) Hadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek.
7) Minum air kosong berbanding minuman berperisa berkarbonat atau minuman manis. – MalaysiaGazette