Anwar (tengah) pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan di bawah pimpinannya akan memberi kerjasama penuh dengan negeri pembangkang.

Jelas beliau, hakikatnya terbukti apabila Kerajaan Persekutuan mengutamakan keperluan yang diminta kerajaan negeri yang bersifat mendesak meskipun terdapat perbezaan politik.

“Sebagai contoh, Kerajaan Persekutuan bersetuju menambah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Golok, Kelantan, susulan masalah banjir yang sering dialami negeri itu.

“Masalah banjir di Kelantan lebih berat daripada masalah banjir di Permatang Pauh, jadi kita kena beri keutamaan kepada Kelantan walaupun kerajaan negeri itu di bawah pimpinan parti berbeza,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi, di sini, hari ini.

Tambah Anwar, lawatannya ke Terengganu esok juga membuktikan kerajaan menjalinkan kerjasama baik dengan negeri pembangkang apabila Menteri Besar Terengganu sendiri turut mengalu-alukan kedatangannya.

“Masa pilihan raya kita lawanlah, lepas itu damailah, baru boleh jaga kehidupan rakyat. Cuma dalam politik kita kena beringat, apa yang dituturkan mestilah berdasarkan fakta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar menegaskan meskipun dituduh zalim membabitkan isu peruntukan namun beliau tetap menambah peruntukan menerusi Belajawan 2023 bagi Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis.

“Peruntukan bagi Kelantan, Perlis, Terengganu, Kedah pun saya tambah kerana kita bawa konsep Madani iaitu semangat kemanusiaan berteraskan beberapa nilai termasuk menegakkan keadilan,” jelas beliau. – MalaysiGazette