SPRM hakim
Logo SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya dihalang daripada menyiasat dakwaan berkaitan rasuah melibatkan hakim.

Penasihat Akademik Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Dr Kassim Noor Mohamed berkata, walaupun mungkin benar SPRM tiada prerogatif dalam menyiasat pelanggaran Kod Etika Hakim, ia tidak bermakna suruhanjaya itu hanya berdiam diri apabila timbul dakwaan rasuah.

“Bagaimana kita boleh tahu dakwaan tersebut adalah tidak berasas sekiranya ia tidak disiasat oleh SPRM?” katanya seperti dipetik daripada artikel dalam ruangan pendapat portal Focus Malaysia, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Badan Peguam, Karen Cheah pada 3 April lalu yang menyifatkan siasatan SPRM terhadap seorang hakim sebagai satu tindakan tanpa bidang kuasa yang wajar.

Malah, kata Karen, ia menimbulkan persoalan mengapa SPRM cuba merentasi bidang kuasa yang tidak dirangkumi di bawah Akta SPRM 2009 dan di luar bidang kecekapan suruhanjaya berkenaan.

Pada 6 Mei tahun lalu, peguam, Haris Ibrahim dan dua yang lain memfailkan tindakan undang-undang terhadap SPRM dan kerajaan berhubung siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

SPRM hakim
Kassim Noor Mohamed

Mohd Kassim memberitahu, semua pihak sepatutnya memahami bahawa SPRM hanya melaporkan hasil siasatannya dan tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan prosiding dilakukan terhadap pihak yang didakwa.

Menurut beliau, ia adalah selaras dengan prinsip pengasingan kuasa.

“Terpulang kepada Ketua Hakim Negara sama ada untuk menubuhkan tribunal atau prosiding Jawatankuasa Etika Hakim bagi menyiasat dakwaan itu atau mempertimbangkan agar kes ditutup.

“Justeru, SPRM tidak sepatutnya dipersalahkan kerana melakukan siasatan mengikut bidang kuasa yang termaktub dalam perlembagaan,” jelasnya.

Mohd Kassim turut mengingatkan Badan Peguam bahawa ia mengambil pendirian berbeza ketika timbul dakwaan berkaitan pelanggaran etika membabitkan beaks Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin pada 1996.

Malah, beliau berkata, Badan Peguam sendiri yang membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar dakwaan itu disiasat.

“Agak pelik, kini Badan Peguam pula yang membantah sekeras-kerasnya tindakan SPRM menyiasat dakwaan salah laku seorang hakim Mahkamah Tinggi,” katanya.

Mohd Kassim menambah, pengesahan yang diberikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung siasatan terhadap seorang hakim tidak sepatutnya dianggap sebagai serangan terhadap sistem kehakiman.

“Janganlah hanya kerana hakim berkenaan mengadili kes berprofil tinggi di mana semua pihak mahu dalang utamanya dihukum, sebarang siasatan terhadap hakim itu dianggap sebagai cubaan untuk membebaskan dalang berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Eh.. jangan siasat hakim. Hakim tu maksum . Hakim tu malaikat. Suci bersih tak ada dosa dan salah. Apatah lagi kalau dia tu Ketua Hakim. Eh.. kau orang siasat hakim tak takut dosa ke. Nanti masuk neraka. Sanggup ke.

Comments are closed.