KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan ujian rintis yang membolehkan pungutan zakat fitrah ditunaikan menerusi sistem Fasstap iaitu Sistem Titik Jualan berasaskan perisian Software-based Point of Sale (SoftPOS).
Kerjasama dengan Fass Payment Solutions Sdn. Bhd. (Fasspay) itu membolehkan orang ramai yang berhasrat untuk membayar zakat kini menggunakan teknologi ‘Tap On Phone’ atau sentuh pada telefon menerusi peranti android dengan kapasiti Near-Field Communication (NFC) atau Komunikasi Medan Dekat untuk menerima pembayaran secara selamat dan mudah.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, ujian rintis itu adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi pihaknya sebagai antara institusi zakat bawah kerajaan pertama di dunia yang membolehkan penerimaan bayaran menggunakan kad secara ‘Tap on Phone’ menerusi Fasstap.
Jelas beliau, mereka yang ingin membayar zakat boleh menunaikannya dengan kad ATM MyDebit yang dikuasakan oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet).
“Sejajar dengan perkembangan masyarakat masa kini yang memilih penyelesaian tanpa tunai dalam pekerjaan harian, kami yakin sistem ini akan menawarkan pilihan yang lebih bermanfaat.
“Khususnya bagi keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai di samping menggalakkan generasi muda tanpa tunai untuk menyempurnakan kewajipan sebagai umat Islam.
“Sepanjang Ramadan tahun ini, PPZ-MAIWP mensasarkan pungutan zakat fitrah berjumlah RM13.8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat Tap On Phone Menggunakan Fasstap di Ibu pejabat PPZ-MAIWP di sini hari ini.
Ketika ini, ujian rintis itu dilaksanakan di tiga lokasi terpilih iaiatu Ibu Pejabat PPZ-MAIWP, Masjid Al-Syakirin KLCC dan Jalan Masjid India.
Lokasi tersebut dipilih berdasarkan faktor bilangan pengunjung celik teknologi yang mencari kemudahan lain dalam menyempurnakan pembayaran zakat.
Tahun ini, PPZ-MAIWP melantik 921 orang amil di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.
Selain di 10 kaunter PPZ-MAIWP, setiap amil ditugaskan di lokasi awam seperti masjid, pejabat, gedung membeli-belah, stesen pengangkutan awam dan lain-lain untuk mendekati lebih ramai umat Islam yang ingin membayar zakat fitrah.
Mengulas lanjut, Abdul Hakim menambah, susulan daripada ujian rintis ini, PPZ-MAIWP menjangkakan pelancaran Fasstap versi penuh untuk memudahkan pembayaran zakat harta seperti zakat pendapatan, zakat emas, zakat simpanan dan lain-lain pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Sektor Kerajaan dan Awam, Fasspay, Johan Zep Md Yusof berkata, ujian rintis itu dilaksanakan agar pihaknya dapat mendalami keperluan khusus PPZ-MAIWP sekaligus dapat menerokai fungsi Fasstap untuk pengalaman membayar zakat yang lancar, mudah dan selamat.
Jelas beliau, usahasama itu sejajar dengan aspirasi strategik kami iaitu menyokong seruan kerajaan untuk memacu transformasi Malaysia kepada masyarakat tanpa tunai.
“Kami berasa bersyukur serta berbesar hati dapat mempelopori ujian rintis ini bersama PPZ-MAIWP di mana Fasstap kini rancak digunakan bagi menguasakan komuniti usahawan kecil dan sederhana termasuklah usahawan mikro menerusi penyelesaian perniagaan yang cekap dari aspek kos dan mobiliti.
“Aplikasi ini juga membolehkan usahawan kecil-kecilan termasuk yang menjalankan perniagaan dari rumah untuk menyalurkan pendapatan mereka terus ke akaun bank peribadi masing-masing.
Dalam pada itu, Fasspay juga akan membangunkan ekosistem yang lebih mesra zakat bagi membolehkan butiran penting pembayar zakat direkodkan sepenuhnya sebelum resit rasmi zakat dicetak secara digital sebelum dihantar menerusi emel bagi tujuan rekod dan pengecualian cukai. – MalaysiaGazette