Mohamad berpuas hati harga barangan berasaskan pertanian dijual dengan harga murah untuk keperluan golongan M40 dan B40.

KLANG – Jualan Agro Madani yang diadakan secara serentak di seluruh negara hari ini, mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan rakyat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jualan itu menawarkan harga murah dengan potongan sebanyak 30 peratus bagi setiap barangan basah seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya.

Menurut beliau di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 10 lokasi dibuka dengan tumpuan untuk memberi pilihan kepada pengguna yang memerlukan di kawasan berkenaan bagi mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan.

Katanya, Jualan Agro Madani ini akan diteruskan sehingga pertengahan tahun ini, yang merupakan projek rintis kementerian itu berkonsepkan jualan pada harga berpatutan.

“Kita nampak sambutan daripada rakyat begitu menggalakkan sekali, terutama ayam, kerana di sini ayam proses dijual dengan harga murah daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Sudah tentulah pengguna beli dengan harga subsidi. Ada seekor ayam berat 1.5 kilogram dijual pada harga RM8.

“Ini salah satu cara kita mengurangkan bebanan golongan B40 dan M40 sepanjang Ramadan dan Syawal untuk menyediakan makanan,” katanya selepas melancarkan Jualan Agro Madani di Dataran Usahawan Kompleks Penghulu, Kampung Johan Setia, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim; Exco Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; dan Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.

Pada program itu juga beliau menyampaikan sumbangan Kit Makanan Semarak Madani kepada 30 golongan asnaf.

Mohamad berkata, menerusi program itu, komoditi jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

Katanya, antara fokus Jualan Agro Madani adalah outlet peruncitan agensi di bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan, kawasan miskin bandar dan pinggir bandar.

“Jualan Agro Madani ini dilihat sebagai salah satu program quick win KPKM dalam membantu pengeluar memasarkan produk secara telus kepada pengguna, selain dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Menerusi program ini, kita menyasarkan nilai jualan RM150,000 bagi 10 kali penganjuran dan dijangka kira-kira 5,000 pengunjung hadir dengan menikmati penjimatan sejumlah RM45,000.

“Istimewa hari ini adalah jualan barangan pertanian segar terpilih dengan harga penjimatan sehingga 30 peratus seperti sayur, buah-buahan, ayam, telur, ikan, gula, minyak masak dan lain-lain,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast