KLANG – Semua pegawai di jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sudah bersiap sedia serta memantau dari semasa ke semasa keadaan cuaca panas yang memungkinkan menjejaskan sektor pertanian negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal dan pihaknya akan memastikan bekalan beras serta barangan keperluan lain berasaskan pertanian sentiasa mencukupi.
“Kita pantau keadaan itu dari semasa ke semasa. Pegawai kita di FAMA, LPP, Mardi dan Bernas setiap masa pantau supaya stok beras sentiasa ada dan mencukupi.
“Ini memang kita pantau dalam bentuk harian, begitu juga dengan bekalan ayam yang turut terjejas dengan cuaca panas. Kita pantau dan pastikan bekalannya mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau dan melancarkan Jualan Agro Madani peringkat kebangsaan di Dataran Usahawan Kompleks Penghulu, Kampung Johan Setia, dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim; Exco Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; dan Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.
Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos ini susulan musim peralihan monsun.
Katanya, cuaca panas itu membabitkan semua negeri, namun yang paling terasa adalah negeri di utara dan Pantai Timur.
Menurut Mohamad, kementeriannya juga menyediakan pelan kecemasan sekiranya berlaku situasi itu termasuk sesuatu bekalan didapati berkurangan secara mendadak.
“Kalau berlaku kecemasan, jika sudah ada pelan. Kita akan lihat sesuatu bekalan yang berkurangan itu jika perlukan import, kita akan import. Yang penting, kita sentiasa bersiap sedia,” katanya. – MalaysiaGazette