wee ka siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tidak mempunyai alasan untuk mengenakan tambang yang tinggi untuk perjalanan dalam negeri kerana negara tidak lagi berada dalam sekatan pergerakan akibat Covid-19.

Bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, beliau terkejut apabila mengetahui tambang sehala antara Kuala Lumpur dan Tawau berharga RM3,138.

Katanya, harga tambang yang begitu tinggi amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai khususnya pengguna pengangkutan awam terutama menjelang musim Hari Raya Aidilfitri.

“Sekarang, bukan lagi isu sekatan pergerakan akibat Covid-19 atau MRO tapi harga tambang dari Kuala Lumpur ke Tawau bernilai RM3,138 seorang.

“Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak beraya tahun ni?

“Sekali lagi ditegaskan bahawa pada masa ini bukan waktu berlakunya pandemik Covid-19! Sektor penerbangan beransur pulih, kebanyakan pesawat tidak lagi didaratkan ‘grounded’ seperti waktu pandemik,” kata Presiden MCA itu.

Tambah Ka Siong, syarikat penerbangan tiada alasan untuk tidak menambah frekuensi selagi ada kemampuan.

Katanya, tidak ada sebarang justifikasi harga tambang penerbangan melonjak tinggi kerana sekatan ‘passengers load’ (muatan penumpang) sebanyak 50 peratus sewaktu Covid-19 tidak lagi dilaksanakan.

Tambahan menurut beliau, kekerapan penerbangan tidak lagi dikawal oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Sabah atau Sarawak.

Sementara MYAIRLINE telah pun beroperasi pada 1 Disember 2022 dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) juga telah meluluskan banyak penerbangan seperti zaman sebelum Covid-19.

“Saya merayu kepada syarikat penerbangan, berpada-padalah, tambang terlalu tinggi membebankan rakyat jelata.

“Jangan sampai seluruh rakyat membuat andaian bahawa syarikat penerbangan tertentu dilihat mengeksploitasikan keadaan dengan mengaut keuntungan tinggi sehingga semua kerugian yang ditanggung semasa Covid-19 mahu dipulihkan (recovered) dalam tempoh yang singkat,” kata Ka Siong.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, beliau menjangkakan kerajaan akan memberikan jawapan standard berhubung isu tambang dengan menyatakan ‘dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan’ kerana “mekanisme kedinamikan harga’.

Bagaimanapun rakyat sukar menerima jawapan begitu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mungkin Menteri PH akan jawab: Kalau tambang kapal terbang mahal jangan naik kapal terbang

Comments are closed.