KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-44 prosiding penyewelengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui kakitangan BSI Bank Ltd Singapura ‘tertekan’ mengendalikan akaun syarikat dana strategik itu.
Menurut saksi, bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai, kakitangan agensi perbankan itu bukan sahaja dirinya sebaliknya kakitangan lain juga tidak selesa apabila menguruskan transaksi keluar masuk dana 1MDB.
Saksi mengakui situasi itu juga berlaku kerana campur tangan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang pada tanggapan mereka adalah ‘penasihat’ bagi 1MDB.
Ketika pemeriksaan balas hari ini dengan peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Kevin berkata, kakitangan Bank BSI pernah menerima tekanan daripada 1Malaysia Development Berhad Global Investment Limited (1MDBGIL) untuk mempercepatkan proses pelaburan AS$2.72juta bilion ke dalam akaun syarikat sasaran.
“Semua transaksi sangat mencurigakan dari hari pertama lagi. Kami pula sentiasa terima tekanan oleh 1MDB untuk cepatkan semua proses pemindahan wang ke akaun fidusiari sebelum dipindahkan semula ke akaun syarikat terpilih.
“Syarikat juga sentiasa diberi ‘peringatan’ bahawa kami sedang kendalikan sebuah syarikat dana strategik kekayaan sebuah negara dan ianya sangatlah sensitif. Tidak boleh pandang ringan atau sambil lewa.
“Tekanan juga berpunca daripada Jho Low untuk mempercepatkan proses transaksi ini,” katanya di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Semalam, Kevin mendedahkan Bank BSI tidak pernah memfailkan apa-apa laporan transaksi mencurigakan kepada pihak berkuasa negara itu meskipun urus niaga dana fidusiari berskala besar disalahguna oleh 1MDB.
Dakwa Kevin, sudah menjadi satu kemestian untuk pihak bank memfailkan laporan transaksi mencurigakan kepada polis jabatan komersial andainya adanya tanda-tanda amaran dengan kemungkinan akaun itu akan ditutup atau transaksi dihentikan.
Bagaimanapun, dakwa Kevin, Bank BSI tidak memfailkan laporan tersebut kerana isu berkaitan tanda amaran tidak dibangkitkan oleh lembaga pengarah 1MDB.
Kevin juga mendakwa bank itu memperoleh sekitar AS$250 juta hasil sumbangan kumpulan pelanggan 11MDB sahaja.
Untuk makluman, Bank BSI merupakan anak syarikat milik penuh BSI SA iaitu bank yang diasaskan pada 1873 dan beribu pejabat di Switzerland dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan swasta termasuk kemudahan dana fidusiari.
Prosiding hari ini akan bersambung pada 8 Mei nanti memandangkan cuti Hari Raya Aidilfitri.
Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang berdepan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette