Emman Azman
Emman Azman

KUALA LUMPUR – Berkat disiplin dan momentum latihan yang konsisten pada bulan Ramadan membawa tuah kepada Juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman apabila menang pada kejohanan gusti New Japan Pro Wrestling (NJPW) Tamashii yang berlangsung di Australia, pada Ahad lalu.

Emman 22, menang menentang seterunya ahli gusti dari Australia, Jarvis dengan teknik KL Gold Running Elbow dalam perlawanan yang mengambil masa 11 minit.

Pembawa gelaran ‘Golden Boy’ itu gembira dan menghadiahkan kemenangan kali ini kepada rakyat Malaysia sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

“Emman berharap akan terus bersinar di Jepun dan mahu satu dunia tahu Emman seorang rakyat Malaysia yang satu-satunya menyertai kejohanan di syarikat gusti Jepun.

“Emman hadiahkan kemenangan ini kepada peminat-peminat saya di Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri tak lama lagi. Emman berusaha keras untuk menempa kejayaan ini.

“Sudah tentu sokongan dan doa daripada ibu dan keluarga Emman sentiasa menyemarakkan lagi semangat Emman untuk mengharumkan nama negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selepas memenangi kejohanan gusti New Japan Tamashii, Emman dijadualkan menyertai kejohanan gusti Smashing Pumpkins Tour yang dikelolakan syarikat gusti Amerika Syarikat iaitu National Wrestling Alliance (NWA) pada 23 dan 27 April ini.

Pada kejohanan itu, pasukan Emman yang mewakili Australia akan menentang pasukan Amerika Syarikat.

“Emman gembira menang menentang Jarvis dalam perlawanan memakan masa 11 minit. Masa Emman berumur 17 tahun, dah pergi ke Jepun untuk menonton perlawanan gusti di sana.

“Memang impian Emman nak jadi ahli gusti profesional, kalau tak WWE (World Wrestling Entertainment) atau AEW (All Elite Wrestling), tetapi sukar untuk percaya yang Emman akhirnya berjaya menjejak kaki bertanding di kejohanan syarikat gusti kedua terbesar dunia, dan menjadi rakyat Malaysia pertama masuk ke New Japan Pro Wrestling,” katanya.

Kejohanan gusti New Japan Tamashii yang bakal berlangsung di Melbourne, Australia pada Ahad mendapat perhatian dunia yang mana syarikat NJPW yang ditubuhkan pada 1972 merupakan entiti sukan gusti terbesar dan popular di Jepun, selepas WWE.

Pada 8 April lalu, Emman muncul juara apabila menang menentang Jarvis dalam perlawanan MCWBlood InTheWater yang berlangsung di Melbourne.

Sebelum itu, Emman menentang Jarvis buat kali pertama pada MCW Ascension Tournament, Mei tahun lalu.

Pada 18 Februari lalu, Emman mengharumkan nama negara apabila berjaya mempertahankan tali pinggang kejuaraan pada kejohanan gusti ‘New Breed’ yang berlangsung di Kuash TTDI, di ibu negara.

Emman menewaskan ahli gusti dari Singapura, Endboss Gregory dan menamatkan perlawanan itu dengan teknik tersendiri, iaitu KL Gold Running Elbow.

Pada 26 November 2022, Emman Azman yang berusia 22 tahun menjuarai Intercommonwealth Melbourne City Wrestling (MCW) menewaskan Mick Moretti dan Adam Brooks. – MalaysiaGazette