KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat sarjan direman selama enam hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kes meminta rasuah gelang emas di Temerloh.
Suspek yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh itu ditahan semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Temerloh pukul 6.45 petang.
Majistret Mohamed Shah Reza Noor Azman membenarkah perintah reman suspek bermula hari ini sehingga 23 April 2023 selepas permohonan reman dilakukan di Mahkamah Majistret Temerloh.
Polis berusia 44 tahun terbabit disyaki meminta rasuah berbentuk gelang emas daripada pengadu supaya anak saudaranya menarik balik laporan polis berkaitan kes pukul terhadap pengadu.
Suspek yang bertugas di bahagian siasatan jenayah didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 2 petang di sebuah restoran makanan segera di Taman Chengal, Temerloh pada 15 April lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette