Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) menyerahkan 'goodie bag' kepada pengguna lebuh raya ketika membuat tinjauan persiapan lebuh raya dan tol sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Gombak, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 18 APRIL 2023.

GOMBAK – Kerja-kerja membaiki dan penyelenggaraan jalan di lebuh raya seluruh negara ditangguhkan serta merta selama 20 hari, sehingga 7 Mei ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nantha Linggi berkata, tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran aliran trafik semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Baru-baru ini ada viral di media iaitu kerja penyelenggaraan di Lebuhraya Pantai Timur KL-Karak didakwa mengakibatkan kesesakan teruk ketika orang sudah mula balik kampung bermula malam tadi.

“Oleh demikian kita telah mengarahkan serta merta bermula hari ini telah dipersetujui oleh syarikat konsesi dalam taklimat tadi bahawa tiada kerja penyelenggaraan atau membaiki jalan lebuhraya bermula dari 18 April hingga 7 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Tol Gombak, hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 33 syarikat konsesi lebuh raya termasuk Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur terlibat dalam penguatkuasaan itu.

Menurut Alexander, penangguhan kerja-kerja penyelenggaraan itu tidak melibatkan jalan persekutuan.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja penyelenggaraan di jalan persekutuan sepanjang musim perayaan akan cuba dielakkan wujud situasi mendesak yang membabitkan keselamatan pengguna.

Sementara itu, Alexander memberitahu, syarikat konsesi tol akan melakukan yang terbaik bagi memastikan perjalanan yang selesa untuk pengguna berikutan pengumuman tol percuma Rahmah kepada semua kelas kenderaan sempena Hari Raya Aidilfitri selama empat hari  bermula 19  hingga 21 April ini dan 24 April.

“Pasukan peronda, saluran aduan kecemasan, segala kemudahan termasuk lorong lorong kontra disediakan membantu melicinkan aliran trafik agar sentiasa lancar sepanjang tempoh perayaan kali ini di lebuhraya.

“Tol percuma ini cadangan yang dibawa KKR kepada Jemaah Menteri dan saya bersyukur Perdana Menteri merestui dan menerima serta mengumumkan inisiatif tol percuma ini,” ujarnya.

Katanya, kos pelaksaan tol percuma ini akan ditanggung secara bersama oleh kerajaan dan syarikat konsesi tol percuma terlibat. – MalaysiaGazette