Seorang lelaki ditahan selepas bertindak melakukan perbuatan khianat terhadap anggota polis bertugas di hadapan Balai Polis Sungai Besi, pada Isnin lalu. Foto Ihsan, Polis KL

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dan bertindak agresif di hadapan Balai Polis Sungai Besi, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek warga tempatan berusia 34 tahun ditahan selepas melakukan perbuatan itu sekitar jam 10.15 malam pada 17 April lalu.

Katanya, semasa kejadian, pengadu yang merupakan anggota polis bersama seorang lagi rakan sekerja sedang bertugas di balai terbabit.

“Kemudian, mereka didatangi suspek di hadapan pos pengawal Balai Polis Sungai Besi dan menjerit mahu menyimbah asid.

“Semasa kejadian itu, suspek telah menyimbah muka dan badan pengadu menggunakan air botol mineral sebelum meluru masuk ke dalam perkarangan Balai Polis Sungai Besi.

“Suspek juga didapati telah membaling satu tin Red Bull ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

Tambah Zam Halim, berlaku pergelutan semasa pengadu bersama dua anggota lain yang cuba menangkap suspek.

“Semasa kejadidan, suspek telah bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang rakan sekerja pengadu sehingga putus di bahagian hujung jari.

“Bagaimanapun suspek berjaya ditangkap dan semakan mendapati dia hanya mengalami kecederaan ringan,” ujarnya.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati positif  dadah Amphetamine dan Methamphetamine, malah dikehendaki polis berkaitan satu kes penipuan.

Dalam pada itu, suspek juga pernah mendapatkan rawatan psikatrik pada tahun 2020 namun tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

Menurut Zam Halim, suspek telah direman selama empat bermula 18 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967. – MalaysiaGazette.