KUALA LUMPUR – Pemandu bas dinasihatkan membawa kenderaan awam itu dengan berhati-hati supaya penumpang selamat sampai ke destinasi.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, mereka juga diingatkan supaya memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.
“Saya nasihatkan kepada semua pemandu bas yang akan membuat perjalanan yang jauh untuk sentiasa berhati-hati dan kenderaan dalam keadaan baik.
“Pastikan anda dalam keadaan sihat, boleh memandu dengan baik kerana mereka ini membawa ramai penumpang yang akan balik menyambut Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program High Profile Policing (HPP), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Yahaya juga berharap usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Lancar dan Op Selamat 20 yang dilaksanakan sempena Aidilfitri mampu melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kes kemalangan jalan raya.
Sementara itu, Yahaya memberitahu, beliau masih mengekalkan hanya 10 peratus anggota polis yang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
Ulas beliau, baki selebihnya akan menjalankan tugas masing-masing seperti biasa bagi memastikan keselamatan di ibu negara terjamin. – MalaysiaGazette