Warga kota mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Aidilfitri ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. - Gambar arkib

KUALA LUMPUR – Tidak perlu berteka-teki 1 Syawal jatuh pada Jumaat atau Sabtu ini kerana yang penting hari perayaan itu pasti tiba.

Itu yang disuarakan anak jati dari negeri Jelapang Padi, Nur Husna Mustafa apabila melihat media sosial dihujani dengan persoalan sedemikian.

Menurut Husna yang ingin pulang ke Jitra, Kedah, perkara itu tidak perlu diperbesar kerana yang lebih penting adalah sentiasa membuat persiapan awal.

Nur Husna Mustafa

“Bagi saya tidak kira Aidilfitri itu jatuh hari Jumaat atau Sabtu kerana kita sentiasa serahkan kepada kepakaran autoriti agama. Tunggulah hasil cerapan anak bulan nanti.

“Lebih utama sekarang adalah ia pasti tiba dan kita perlu buat persiapan awal. Kita tunggu sahaja pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja nanti,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, mendapati, orang ramai mula ‘membanjiri’ hab pengangkutan awam itu untuk pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Pertambahan pengguna yang ketara itu dapat dilihat bermula jam 8 malam tadi di lobi perlepasan dengan kehadiran ramai pengguna yang beratur.

Bagaimanapun, situasi itu masih dalam keadaan terkawal dengan kehadiran petugas terminal tersebut yang melancarkan setiap pergerakan pengguna.

Terdahulu, pengendali TBS dilaporkan telah mengambil langkah persediaan untuk menampung jumlah penumpang yang tinggi bermula semalam sehingga Sabtu ini.

Antaranya penambahan kakitangan, kaunter tiket dan kaunter pertukaran tiket selain memastikan status tiket dan sebarang makluman jadual perjalanan dikemas kini di Sistem Paparan Maklumat Pengguna. – MalaysiaGazette