Shafee Badan Peguam
Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ‘pelik’ apabila Badan Peguam menganggap institusi kehakiman tidak kental menahan kritikan berhubung kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Memetik laporan FMT, beliau yang juga peguam Najib berkata, institusi kehakiman sewajarnya bersedia berdepan dengan kritikan.

“Sudah tentu anda mesti membenarkan institusi kehakiman menjadi lebih kental dan perlu berdepan kritikan dalam ruang lingkup betul dan tidak menghina mahkamah,” katanya pada forum anjuran Badan Peguam di sini, hari ini.

Dalam forum bertajuk Public Forum on MACC, the Ex-PM and the Independence of the Judiciary itu, Muhammad Shafee mengemukakan beberapa soalan kepada ahli panel berhubung dakwaan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa mempunyai konflik berkepentingan ketika mempengerusikan kes SRC International di Mahkamah Tinggi.

Ahli panel forum lain termasuk Presiden Badan Peguam, Karen Cheah; Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Badan Peguam, Andrew Khoo dan pakar undang-undang, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Muhammad Shafee menambah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengikut prosedur apabila menyiasat dakwaan terhadap Mohd Nazlan.

“Mereka (SPRM) mengambil inisiatif melaporkan kepada ketua hakim negara, seperti diperuntukkan undang-undang.

“Terpulang kepada ketua hakim negara untuk mengambil dan membuangnya ke dalam tong sampah atau bertindak ke atasnya,” jelasnya.

Pada 23 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan, laporan SPRM berhubung siasatan terhadap Mohd Nazlan telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Dalam surat kepada peguamcara Najib, Shafee & Co, pada 6 April lalu, Azalina mengesahkan siasatan SPRM terhadap Nazlan menyimpulkan beliau telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik berkepentingan ketika mengadili kes SRC International.

Bagaimanapun, pada 24 Februari lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tengku Maimun memutuskan bahawa SPRM tidak mengikut protokol semasa melakukan siasatan terhadap Mohd Nazlan.

Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam forum yang sama mendakwa, ada pihak yang cuba mensensasikan dakwaan konflik berkepentingan melibatkan Mohd Nazlan dalam kes SRC International untuk menimbulkan wasangka terhadap keputusan mahkamah.

Beliau menegaskan, adalah penting untuk menghalang ahli politik dan mana-mana pihak lain daripada mensensasikan kes mahkamah. – MalaysiaGazette