KUALA LUMPUR – Tiada pertambahan jumlah kenderaan yang ketara di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke utara selepas aliran trafik masih lancar ketika ini.
Tinjauan MalaysiaGazette
Difahamkan, ramai warga kota merancang perjalanan untuk bergerak ke arah utara lebih awal susulan trafik perlahan di beberapa kawasan bermula sekitar jam 4 petang dari Bidor ke Tapah.
Keadaan trafik bertambah padat pada jam 5.33 petang di Kilometer 257.3 dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar berikutan terdapat kemalangan jalan raya.
Ia menyebabkan trafik sesak beberapa jam susulan lorong kiri terhalang dengan pergerakan perlahan hampir 10 kilometer.
Perkara itu dimaklumkan pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam perkongsian di akaun Twitter PLUSTrafik.
Di Plaza Tol Gombak, warga kota yang dalam perjalanan menghala ke Pantai Timur ketika ini masih lagi berdepan dengan pergerakan trafik yang perlahan.
Keadaan menjadi lebih ‘parah’ selepas susur keluar plaza tol tersebut untuk menuju ke Bentong dengan jangkaan kelewatan mencecah hampir dua jam.
Sehubungan itu, pengguna dinasihat mendapatkan maklumat trafik terkini di media sosial pengendali lebuh raya terbabit agar dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. – MalaysiaGazette