KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah timur didapati mula perlahan sejak pukul 2.27 petang tadi susulan pertambahan kenderaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pertambahan kenderaan itu dikesan di beberapa kawasan lebuh raya terbabit termasuk dari Kampung Batu 12, Gombak ke Genting Sempah di Bentong.
“Trafik perlahan juga selepas terowong ke Bukit Tinggi, Bukit Tinggi ke Lentang dan persimpangan CSR ke persimpangan Bentong Timur,” katanya LLM dalam ciapan terbaharunha diTwitter, hari ini.
Semalam, LLM menjangkakan jumlah peningkatan trafik hingga 2.3 juta kenderaan sehari di tiga lebuh raya utama dijangka berlaku berperingkat bermula Rabu hingga 7 Mei sempena perayaan Aidilfitri.
LLM dalam kenyataan memaklumkan jangkaan jumlah peningkatan trafik itu adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1.
Dalam pada itu, aliran trafik juga perlahan dari Plaza Tol Gombak ke Lentang hingga ke Tol Bentong sejak jam 12.32 tengah hari tadi.
“Aliran trafik juga perlahan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari arah utara melibatkan Slim River ke Trolak, Sungkai ke Tapah, Tapah ke Gopeng, Ipoh (Utara) ke Sg. Perak dan Bukit Merah ke Lay Bye Alor Pongsu.
“Pertambahan kenderaan itu juga dikesan dari Bandar Baru ke Sg. Bakap, Bandar Cassia ke Plaza Tol Juru, Juru Auto City ke Perusahaan Perai dan Perai ke Plaza Tol Sungai Dua,” ciap LLM lagi. – MalaysiaGazette