Pelajar Universiti Malaya memasukkan bagasi kedalam bonet bas sebelum pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya pada Program MAIWP Insani Rahmah Ramadan Jom Balik Raya di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Teruja dapat pulang ke kampung lebih awal dan rindukan suasana di desa bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Itu antara yang diluahkan para mahasiswa selepas institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mereka memberi pelepasan pulang ke kampung seminggu sebelum hari lebaran.

Pada tahun lalu, umat Islam di Malaysia dikejutkan apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri disambut lebih awal daripada tarikh yang dijangkakan.

Pelajar Universiti Malaya, Mujiburrahman Abdullah. Foto MUHD NA’IM,

Menurut pelajar tahun tiga Universiti Malaya, Mujiburrahman Abdullah, 22, berkata, dia amat teruja dan gembira apabila IPTA membenarkan pelajar untuk pulang ke kampung lebih awal.

Katanya, langkah itu dapat memudahkan pelajar untuk membuat persiapan menyambut hari raya lebih awal terutama mereka yang akan pulang ke kampung jauh seperti ke Kelantan.

“Sebenarnya saya berasa teruja sangat raya tahun ini untuk balik Kelantan sebab tahun sebelum ini kita hadapi wabak Covid-19, dan juga raya mengejut. Boleh dikatakan semua orang terkejut.

“Tapi bila univeristi benarkan kami balik lebih awal seminggu, memang kita boleh rancang untuk persiapanlah antaranya nak jumpa mak, kawan-kawan, buat lemang dan macam-macam lagi.

“Saya duduk sini belajar jauh, jadi bila dapat jumpa keluarga, sanak saudara, dan kawan-kawan itu satu kepuasan, selain itu dapat elakkan jem yang teruk. Pihak univeristi pun bagi kelonggaran untuk kami belajar secara atas talian jadi amat membantu sangat,” katanya.

Pelajar Universiti Malaya, Abdul Hanif Abdul Aziz. Foto MUHD NA’IM.

Bagi Abdul Hanif Abdul Aziz, 20, yang buat pertama kali merantau jauh daripada keluarga berkata, peluang balik kampung lebih awal iaitu di Kedah adalah satu keistimewaan buat dirinya.

Katanya, apa yang dinantikan adalah suasana sambutan hari raya dan udara di desa jika dibandingkan di Kuala Lumpur.

“Saya sangat teruja untuk raya tahun ini, dan pertama kali saya balik daripada tempat yang jauh, sebelum ini saya belajar berdekatan dengan kawasan rumah sahaja, jadi terasa aura balik kampung.

“Pertama saya nantikan sambutan daripada keluarga dan juga suasana raya yang saya rindu untuk setiap tahun dan suasana sekeliling di Kedah berbeza dengan Kuala Lumpur.

“Perbezaanya dari segi persekitaran, bau, udara di Kedah, ada beza dan perbezaan itu yang saya rindui, tambah pula di sana ada banyak kebun kelapa sawit pun saya rindu bau itu,” ujarnya dengan penuh teruja.

Pelajar Universiti Malaya, Ain Dalila Md Nazri. Foto MUHD NA’IM.

Bagi Ain Dahlia Md Nazri,22, yang pulang ke Baling, Kedah berkata, sebagai anak perempuan perlu membantu keluarga untuk memasak, menghias rumah dan berbuka puasa bersama keluarga.

Katanya, peluang pulang ke desa lebih awal itu akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk meluangkan masa bersama keluarga setelah sekian lama berjauhan di Kuala Lumpur.

“Tahun ini rasa lebih teruja sebab tahun lepas kelas tidak dibuat sepenuhnya secara fizikal lagi, jadi ramai pelajar tak ada masa balik raya tapi tahun ini lebih meriah sebab semua ada depan mata.

“Kita sebagai anak perempuan semestinya ternanti nak bantu mak masak ketupat, rendang dan paling saya suka adalah malam raya bersama keluarga pergi bazar di Baling untuk beli baju raya.

“Terima kasih juga pada pihak univeristi sebab bagi kami balik awal, memudahkan untuk rancang jadual cuti kami dan belajar pun dibuat secara atas talian,” jelasnya.

Pelajar Universiti Malaya, Mohamad Norhazim Mohamad Sukri. Foto MUHD NA’IM.

Keterujaan itu turut dirasai Mohamd Norhazim Mohamad Sukri,21, katanya suasana sambutan Hari Raya pada tahun ini adalah paling yang dinantikan kerana tahun lepas adalah raya mengejut.

“Saya akan balik Johor Bahru dan paling saya rindu adalah bazar Ramadan di sana sebab setiap tahun saya dan keluarga akan pergi beramai-ramai bersama saudara.

“Kami juga akan main mercun di kawasan perumahan ramai-ramai, memang lama tak dapat vibe itu sebab sebelum ini kita PKP tapi raya tahun ini dah terancang, saya nak hidupkan balik suasana itu.

“Raya kali ini, semestinya rendang dan ketupat yang dinanti sebab tahun lepas raya mengejut dan tak sempat nak masak jadi saya harap tahun ini lebih teratur, insya-Allah dapat makan semua tu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast