Orang Awam mula membanjiri pasar untuk membeli barangan basah sempena persiapan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Suasana di Pasar Raja Bot di sini meriah dengan kunjungan orang ramai untuk membeli barangan mentah bagi persiapan akhir menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Tinjaun MalaysiaGazette seawal pukul 8 pagi mendapati, kebanyakan pengunjung memilih membuat persiapan lebih awal bagi mengelak kelam-kabut sekiranya hari lebaran jatuh hari esok bukan Sabtu ini.

Walaupun hujan pagi tadi namun keadaan itu tidak mematahkan semangat warga kota keluar mencari barang masakan dan membuat persiapan di saat akhir hari raya.

Orang Awam, Nasir yusof bercakap kepada media mengenai membeli barangan persiapan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 APRIL 2023.

Pengunjung, Nasir Yusof, 60, yang juga pesara kerajaan berkata, sudah menjadi tradisi buat dirinya mendapatkan barang keperluan hari raya lebih awal.

“Orang tua macam saya ini memang suka buat persiapan awal, mudah jikalau raya jatuh hari Jumaat atau Sabtu, tiada masalah.

“Jadi kita berhati-hati dengan shopping awal tambah pula saya memang raya dekat KL, jadi Pasar Chow Kit ini is the best place untuk kita warga kota.

“Saya semestinya beli daging sebab pagi raya pilihan saya adalah rendang daging,” katanya.

Orang Awam, Nurhafizah Che Ismail bercakap kepada media mengenai membeli barangan persiapan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 APRIL 2023.

Pengunjung lain, NurHafizah Che Ismail, 37, pula menganggap persiapan awal memudahkannya untuk membuat pilihan barangan kerana stok barangan mentah masih banyak dan segar.

“Saya beli barang awal sebab nak balik kampung Negeri Sembilan malam ini tapi tak sangka ramai juga orang dekat sini. Saya seronok datang pasar ini sebab banyak sangat pilihan macam ayam pun segar, harga yang ditawarkan pun lebih murah berbanding pasar lain walaupun tak pernah pergi Pasar Selayang.

“Kalau pergi pasar ini tentunya untuk raya kita cari ayam dan daging sebab menu utama kita masak rendang dan sup tulang,” ujarnya.

Orang Awam, Noraqilah Che Ismai bercakap kepada media mengenai membeli barangan persiapan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 APRIL 2023.

Lain pula bagi Noraqilah Che Ismail, 23, yang akan beraya di Kuala Lumpur  gemarkan suasana pasar terutama pada saat akhir Ramadan kerana ramai orang mula sibuk membuat persiapan raya.

“Kalau dekat sini, banyak pilihan barangan dan paling saya suka vibe raya di pasar ini sebab meriah sangat. Orang ramai mula sibukkan diri beli barang masakan dan pelbagai barangan mentah ada. Jadi dua tiga hari sebelum raya memang saya datang untuk beli barang di sini.

“Kualiti barangan mentah kat sini pun bagus, kebanyakkannya segar, harga murah, apa kita nak dapatkan semua ada,” jelasnya.

Peniaga, Mohd Firdaus Azlan bercakap kepada media mengenai membeli barangan persiapan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 APRIL 2023.

Sementara itu, peniaga daging, Mohd Firdaus Azlan, 29, berkata, lebih 300 ekor ayam tua telah terjual hari ini dan daging juga laris dijual.

“Saya berniaga dari pukul 3 pagi tadi, tengok dah ramai orang dan semuanya laris sebab orang nak buat rendangkan. Dari Ramadan pertama sampai hari ini okaylah makin lama makin ramai orang datang ke sini untuk beli barang tapi hari ini paling ramai mungkin takut raya mengejut macam tahun lepas,” katanya.

Peniaga, Sazali Abd Latifi bercakap kepada media mengenai membeli barangan persiapan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 APRIL 2023.

Bagi peniaga ayam, Sazali Abd Latif, 61, pula berkata, permintaan ayam paling banyak daripada orang ramai terutama saat akhir melakukan persiapan hari raya.

“Memang ramai sangat orang hari ini tapi kadang-kadang orang ramai pun barang kita tak cukup. Macam hari ini, ayam kita order banyak tapi dapat stok sikit sahaja.

“Tengok macam sekarang ini sudah boleh balik. Pasal sekarang ini orang terlampau ramai dan memang ayam tak cukup,” jelasnya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast