KUALA LUMPUR – Rasuah, inflasi dan pengangguran merupakan tiga perkara utama yang mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia sepanjang suku pertama tahun ini.
Firma kaji selidik Ipsos berkata, kebimbangan mereka terhadap Covid-19 semakin berkurangan ketika landskap ekonomi negara disesuaikan semula dengan realiti selepas pandemik dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Inflasi kekal sebagai salah satu kebimbangan utama walaupun ia mula menunjukkan aliran penurunan.
“Tekanan inflasi menyebabkan keyakinan ekonomi dan pembelian pengguna tidak mencapai peningkatan yang diharapkan berlaku ekoran sentimen pasca pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan statistik kajian tersebut, 51 peratus rakyat bimbang tentang rasuah diikuti inflasi (36 peratus) dan pengangguran (35 peratus).
Selain itu, 47 peratus rakyat berasa selesa membuat pembelian penggunaan isi rumah manakala 43 peratus berpandangan serupa bagi pembelian barangan harga tinggi seperti rumah atau kenderaan.
Ipsos menambah, seperti yang disaksikan dalam pilihan raya umum di seluruh dunia, sentimen awam memuncak selepas perubahan kerajaan berlaku dan seterusnya beralih kepada normal baharu.
Firma kaji selidik itu memberitahu, selepas lima bulan kerajaan baharu memerintah, dua pertiga rakyat percaya bahawa negara ini berada di landasan yang betul. – MalaysiaGazette