DALAM suasana keghairahan menyambut aidi fitri ramai yang lebih memfokuskan tarikh hari raya puasa akan diumumkan, khamis atau jumaat. Ada yang membincangkan polemik penentuan 1 Syawal sama ada dengan perkiraan ilmu hisab, pencerapan anak bulan atau kedua-duanya sekali. Sebenarnya fenomena tersebut bukan asing di Malaysia melainkan sejak kebelakangan ini ia lebih diviralkan oleh netizen berbanding kesempurnaan ibadat puasa itu sendiri. Di antara kesempurnaan yang wajib diteliti oleh umat Islam ialah kewajipan menunaikan zakat fitrah. Walaupun telah sekian
lama dilaksanakan namun adakah telah menepati tuntutan hukum Syarak. Di antara isu yang masih timbul ialah sah atau tidak mengeluarkan zakat fitrah untuk individu lain.
Zakat Fitrah kewajipan individu atau berdasarkan nafkah
Pada dasarnya sebagaimana kewajipan puasa bersifat individu maka kewajipan zakat fitrah juga bersifat individu. Namun terdapat sedikit perbezaan kerana ibadat ini lebih terarah kepada tanggung jawab terhadap faqir dan miskin. Ia melibatkan kehartaan seseorang iaitu memberikan makanan asasi kepada mereka yang layak menerimanya. Namun disebabkan tuntutan dan perubahan zaman, pentafsiran makanan asasi telah diperluaskan kepada pembiayaan terhadap fakir miskin yang menyambut hari raya aidilfitri bersama umat Islam lain. Justeru di Malaysia melalui pendekatan
maqasid al-shari’ah, zakat fitrah dibayar melalui wang berbanding beras sebelum ini.
Apabila bersifat individu timbul persoalan apakah ibadat ini bersifat individu secara mutlak ataupun masih bersifat kewajipan secara jamaie yang melibatkan pelaksanaan terhadap individu lain. Sebenarnya ramai lagi umat Islam di Malaysia yang keliru dalam berhadapan dengan permasalah ini walaupun sudah bertahun-tahun melaksanakannya. Di antaranya ialah sah atau tidak zakat fitrah yang dikeluarkan oleh pihak lain tanpa pengetahuan ataupunkan keizinan individu tersebut terlebih dahulu. Dalam sesebuah keluarga siapa yang wajib mengeluarkan zakat dan siapa yang tidak diwajibkan mengeluarkannya.
Golongan yang diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah
Pada dasarnya ada dua konsep yang sering dijadikan asas oleh para ulama dalam menentukan siapa yang diwajibkan membayar zakat fitrah. Pertama: Tanggung jawab usul (bapa, ibu, datuk dan nenek) terhadap furu’ (anak, cucu dan cicit) dan tanggung jawab furu’ terhadap usul. Ia melibatkan tanggung jawab nafkah. Jika tidak melibatkan nafkah maka masing-masing mempunyai kewajipan tersendiri. Berdasarkan konsep ini, selain zakat individu, zakat fitrah juga dibayar berdasarkan nafkah yang ditanggung. Apabila tanggung jawab tersebut tiada maka tidak wajib melaksanakannya
kerana zakat fitrah bersifat kewajipan individu pada asalnya. Bapa wajib membayar zakat fitrah untuk anak-anak di bawah tanggungannya. Walaupun anak-anak mampu membayar zakat fitrah sekadar RM7 namun duit tersebut bukan berasal dari punca pendapatan bahkan dari bapanya.
Sebaliknya jika anak-anak yang belum baligh itu kaya maka bapa perlu mengeluarkan zakat fitrah melalui wang anaknya bukan wangnya sendiri. Kedua: kewajipan individu secara mutlak yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak lain. Bagi mereka setiap orang mempunyai kewajipan mengeluarkan zakat fitrah jika mampu melaksanakannya kerana ia bersifat individu sebagaimana ibadat puasa itu sendiri. Oleh itu isteri wajib mengeluarkan zakat fitrah tersendiri jika termasuk dalam golongan yang berkemampuan.
Membayar zakat fitrah untuk orang lain
Di antara isu yang sering dibangkitkan sehingga kini ialah adakah sah atau tidak bapa membayar zakat untuk anaknya yang sudah dewasa dan mempunyai pendapatan tersendiri. Begitu juga bagaimana dengan anak yang telah dewasa namun masih belum mempunyai pendapat tersendiri. Jika dilihat kepada kemampuan maka sudah tentunya tidak menjadi sukar untuk dibayar oleh anak-anak sama ada yang telah baligh ataupun belum baligh lebih-lebih lagi bagi mereka yang menabung duit sendiri. Oleh itu dalam hal ini isu sebenar bukan lagi kemampuan dalam membayar zakat fitrah.
Isunya ialah siapa yang memberi nafkah kepada anak tersebut walaupun sudah baligh ataupun dewasa. Begitu juga nafkah tersebut diberikan kepada anak-anak berdasarkan ketidakmampuan diri ataupun atas ihsan bapa semata-mata. Jika atas ihsan bapa, maka anak yang sudah dewasa yang mempunyai pendapatan tersendiri wajib membayar zakat untuk dirinya sendiri. Jika bapa ingin membayar untuknya perlu memaklumkan atau mendapat keizinan terlebih dahulu.
Keizinan juga boleh berlaku berdasarkan uruf (kebiasaan) iaitu sejak baligh bapa tidak pernah putus membayar zakat fitrah untuk anaknya dengan syarat pada awal usia dewasa bapa telahpun memaklumkan tentang pembayaran tersebut. Ia pula berterusan bukan bersifat kadang-kadang. Jika tidak maka tanggung jawab anak tersebut terhadap zakat fitrah untuk dirinya sendiri belum lagi selesai walaupun bapa telahpun membayar zakat fitrah untuknya. Walau bagaimanapun lebih baik anak yang berkemampuan itu membayarnya sendiri bukan mengharapkan ihsan ibu bapa sepanjang masa. Terdapat segelintir umat Islam di Malaysia yang menyerahkan secara total pembayaran zakat fitrah kepada bapanya disebabkan bapanya seorang kaya walaupun sudahpun berkeluarga sendiri.
Budaya ini berlawanan dengan hukum Syarak dan perlu ditinggalkan.
Sebaliknya anak yang dewasa pula tidak wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk ibu bapanya kecuali nafkah keduanya ditanggung oleh anak disebabkan faqir atau miskin. Jika bukan di bawah tanggungan nafkah yang wajib, anak perlu mendapatkan keizinan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan zakat bagi pihak ibu bapanya. Begitu juga mengeluarkan zakat fitrah untuk individu miskin lain yang tidak mempunyai sebarang hubungan usul dan furu’ perlukan keizinannya. Ini kerana kewajipan tersebut masih tertakluk kepada kewajipan individu sedangkan seorang faqir dan miskin yang tidak bermampuan tidak diwajibkan zakat fitrah.
Membayar zakat untuk isteri
Berkaitan dengan zakat fitrah terhadap isteri, jumhur ulama termasuk Imam Syafie, Imam Malik dan Imam Ahmad menyatakan wajib ke atas suami membayar zakat fitrah untuk isterinya walaupun isteri mampu membayarnya sendiri. Ini kerana hubungan perkahwinan mewajibkan nafkah walaupun isteri seorang yang kaya. Berbanding hubungan bapa dengan anak yang dewasa, bapa tidak lagi wajib menanggung nafkah apabila anaknya sudahpun baligh dan mampu berdikari. Walau bagaimanapun hubungan perkahwinan tidak mewajibkan suami membayar zakat harta untuk isteri.
Bagi Abu Hanifah dan mazhab Zahiri pula, isteri wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri sendiri. Bahkan tidak sah jika isteri tidak membayarnya sendiri. Ini kerana zakat fitrah menyamai zakat kehartaan yang bersifat individu secara mutlak. Disebabkan umat Islam di Malaysia adalah bermazhab Syafie maka pandangan pertama lebih afdhal diamalkan demi penyatuan ummah.
Zakat fitrah merupakan kewajipan yang wajib ditunaikan oleh umat Islam selagi sempat bersama di akhir Ramadan dan pagi 1 Syawal. Keabsahan kewajipan tersebut wajib dititik beratkan agar puasa kita mendapat ganjaran yang sebaiknya. Ini kerana zakat fitrah mampu menyempurnakan kekurangan yang berlaku terhadap ibadat puasa yang dikerjakan di sepanjang Ramadan.
Peranannya seumpama sujud sawi yang dikerjakan dalam solat iaitu mampu menyempurnakan kekurangan yang berlaku terhadap ibadat puasa. Seorang pencinta ibadat akan menangis di akhir Ramadan kerana mengharapkan Ramadan kekal dengan lebih lama manakala seorang pencinta aidil fitri akan mengharapkan hari raya tiba secepat mungkin tanpa menghiraukan Ramadan yang bakal pergi.
Wa Allah a’lam.
Oleh: Dr Ridzwan Ahmad
Jabatan Fiqh Dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya