KUANTAN – Hampir 3,000 jemaah Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ), di sini, menunaikan solat Sunat Aidilfitri sebanyak dua kali dekat Jerantut, hari ini.
Ia berikutan Imam 1 MTMAJ, Mohd Fikir Hamzah terlupa melakukan lima kali takbir pada rakaat kedua.
Bagaimanapun, setelah beliau menyedari tidak melakukan takbir dan meneruskan solat bermula jam 8.45 pagi sehingga memberi salam.
Sejurus memberi salam, beliau terus mengakui kekhilafannya dan mahu mengulangi solat sunat itu kali kedua kira-kira jam 8.55 pagi setelah berbincang bersama jemaah.
“Saya terlupa takbir lima kali pada rakaat kedua itu, kemudian teruskan solat macam biasa.
“Ikut hukum, solat Sunat Aidilfitri itu sah. Tapi diputuskan solat sekali lagi setelah melakukan perbincangan dan tanya jemaah, semua nak solat sekali lagi. Kemudian baca khutbah seperti biasa.
“Maklumlah solat hari raya dua kali sahaja setahun, jadi jemaah bersepakat nak solat kali kedua,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, perbuatan mengangkat takbir itu merupakan sunat hai’ah di mana tidak menjadi kesalahan solat itu masih sah walaupun terlibat mengangkat lima takbir.
Namun beliau tetap meminta pendapat jemaah dan rata-rata bersetuju serta meminta imam untuk mengulangi solat hari raya sekali lagi.
Sunat hai’ah adalah perkara sunat yang tidak memberi kesan jika meninggalkannya.
Dengan erti kata lain, jika terlepas sunat hai’ah, tidak perlu melakukan sujud sahwi atau diulang perbuatan tersebut. -MalaysiaGazette