Isteri Meneteri Besar Pahang, Datin Sri Dato Burhah Mohammed menyantuni anak-anak dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah (RKKTAF) di sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar pahang hari ini

KUANTAN –  Hampir 8,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat di Pahang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar yang diadakan di Dewan Bandaraya Kuantan (MBK) hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran rumah terbuka itu menyaksikan kehadiran masyarakat daripada pelbagai kaum yang membuktikan semangat perpaduan kaum di negeri ini.

”Setelah beberapa tahun kita  tidak dapat melakukan rumah terbuka disebabkan Covid-19, di mana kita tidak boleh melakukan perhimpunan ketika itu. Hari ini berpeluang mengadakakan rumah terbuka bersama penduduk Kuantan khasnya kita boleh raikan Aidilfitri, gembira kerana ramai datang.

”Walaupun lama tak buat rumah terbuka namun rasa seperti setiap tahun kita buat, kita dapat saksikan kehadiran pelbagai kaum lain seperti kaum Cina, India sama-sama memeriahkan rumah terbuka ini. Inilah bukti semangat perpaduan di kalangan rakyat.

”Saya berharap rakyat jangan ada pembaziran, jangan makan melebihi had, tingkatkan usaha menziarah rumah ke rumah untuk mengeratkan silaturahim supaya budaya ini berterusan,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Turut berangkat bercemar duli ke majlis rumah terbuka berkenaan ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Muhammad Syukri)kiri_ bersama keluarga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Sementara itu, Muhammad Syukri, 35, dari Beserah berkongsi pengalaman kali pertama menghadiri program ini merasakan rumah terbuka wajar diteruskan bagi mendekatkan diri bersama pemimpin setempat.

”Wajiblah diadakan untuk lebih kenal pemimpin, lagipun bukan zaman Covid-19 lagi, jadi pengalaman pertama rasa seronok, selain juadah macam-macam yang enak kita dapat kenal ramai orang,” katanya.

Shamsul Abdul Hamid (kiri) bersama isteri menjadikan rutin setiap tahun mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang

Manakala Shamsul Abdul Hamid, 65, dari Jaya Gading, Kuantan menjadikan rutin tahunan untuk berkunjung rumah terbuka ajuran pemimpin negeri ini.

”Pernah hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar dulu, MB sekarang ni kali pertama dan rasa kemeriahan di samping kenal orang baru.

”Tempat ini (Dewan MBK) memang sesuai buat jamuan raya besar, parkir mudah dan muat orang ramai,” katanya.

Muhammad Iszam Sazril Isa berkongsi juadah istimewa yang disediakan pada rumah terbuka bersama isteri

Begitu juga pendapat  Muhammad Iszam Sazril Isa, 32, yang merasakan rumah terbuka untuk rakyat pelbagai kaum wajar diteruskan bagi mengukuhkan perpaduan antara semua masyarakat.

”Kami tinggal di Batu 3, datang bersama keluarga dan bawa ibu sekali lepas Zohor tadi. Alhamdulillah dapat menikamati juadah raya macam-macam, nampak pelbagai kaum datang memeriahkan sambutan rumah terbuka ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette