PETALING JAYA – Mula tertarik dengan Islam sejak sekolah menengah menyebabkan seorang pemuda berusia 25 tahun sering membuat kajian dan belajar tentang agama berkenaan secara senyap tanpa pengetahuan keluarganya.
Bertahun-tahun lamanya beliau memendam dan menunda hasrat memeluk Islam kerana bantahan keluarga.
Namun, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Dinesh nekad menyambut Aidilfitri kali ini sebagai Muslim walau apa pun yang berlaku.
Justeru, beliau nekad membuat keputusan untuk memeluk Islam pada 9 April yang lalu tanpa pengetahuan keluarganya.
“Secara jujurnya saya tidak tahu secara spesifik bila saya mula tertarik dengan Islam tetapi yang pasti ia sejak sekolah menengah, bertahun-tahun lamanya. Mungkin juga sebab saya habiskan masa yang banyak dengan kawan-kawan muslim.
“Sejak mula tertarik dengan Islam, saya kerap buat kajian sendiri tentang Islam sebab saya ada sikap ingin tahu yang tinggi.
“Saya sudah berniat lama untuk masuk Islam tapi saya tahu keluarga khususnya ibu dan bapa akan menentang. Ibu saya adalah orang yang paling membantah, sebab saya pernah suarakan kepada mereka keinginan saya tapi respon mereka tidak baik. Setelah bertahun-tahun jadi kali ini saya nekad,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pemuda yang berasal dari Negeri Sembilan namun menetap dan bekerja di Petaling Jaya itu mengaku belum bersedia untuk memaklumkan keluarganya kerana mahu mengelakkan ketegangan.
Namun Dinesh yakin, ahli keluarganya akan faham dan menerima keputusan yang dibuatnya itu suatu hari kelak.
“Cabarannya sudah tentu untuk menyembunyikan dahulu yang saya sekarang adalah mualaf kan. Sebab bila balik berjumpa dengan keluarga sudah tentu cara hidup sudah berbeza. Tapi saya akan cuba yang terbaik,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Islam telah mengubah sedikti sebanyak karakter dirinya menjadi yang lebih baik bermula daripada cara hidup dan pemikiran tentang pelbagai aspek.
Jelas Dinesh, Nabi Muhammad S.A.W adalah contoh terbaik yang boleh dijadikan teladan untuk mualaf sepertinya belajar tentang Islam.
“Sebagai orang yang baru sudah tentu ada banyak lagi yang saya perlu belajar namun saya akan terus mencuba, inilah kehidupan saya sekarang.
“Nasihat saya adalah, siapa nak belajar tentang Islam, belajar dan ambil tahu tentang Muhammad terlebih dahulu,” tambahnya.
Dinesh turut berkongsi rasa gembira dan terujanya untuk meraikan Aidilfitri buat pertama kali tahun ini sebagai seorang muslim.-MalaysiaGazette
alhamdulillah semuga segalanya dipermudahkan