KUALA LUMPUR – Beberapa pemuda yang berlumba haram dengan memakai baju raya pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri antara kumpulan Mat Rempit yang ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan yang dijakankan di sekitar Daerah Barat Daya, Pulau Pinang semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, operasi itu dilaksanakan oleh pasukan Tindakan Khas Barat Daya diketuai seorang pegawai dan sembilan anggota bermula jam 10 malam Sabtu hingga 6 pagi Ahad bertujuan mencegah lumba haram dan kegiatan Mat Rempit.
Katanya, dalam operasi tersebut sebanyak tujuh buah motosikal yang berlumba haram telah dirampas dan disita polis.
“Polis juga telah mengeluarkan sebanyak 20 saman terhadap pengguna atas pelbagai kesalahan di jalan raya dalam Op Samseng Jalanan tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, penyitaan motosikal Mat Rempit telah dijalankan di bawah Sek.64(1) APJ 1987.
“Selain itu, rondaan di sekitar kawasan Q1 dan Q2 Waterfront, Queensbay pada hujung minggu oleh Polis Barat Daya akan terus dilaksanakan dan tindakan terhadap kenderaan yang menyalahi undang-undang terutama pengubahsuaian ekzos motosikal yang mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat akan terus diambil dalam memastikan ia tidak mengganggu ketenteraman awam masyarakat sekitar,” tegasnya. – MalaysiaGazette