Sebahagian mat rempit yang bersembunyi dalam kebun sawit untuk mengelak dicekup polis akhirnya menyerah diri kerana lapar dan rindu juadah raya. Foto Ihsan IPD Kulai

KUALA LUMPUR – Sekumpulan rempit yang bersembunyi dalam ladang kelapa sawit bagi mengelak ditangkap polis akhirnya menyerah diri semalam kerana sedar tiada lagi jalan untuk melepaskan diri selepas semua jalan tikus disekat sepenuhnya.

Mereka juga mengaku tindakan itu diambil kerana kelaparan.

Motosikal-motosikal milik mat rempit yang disita polis Kulai dalam OP Selamat bermula Khamis dan Jumaat di Jalan Kulai-Kota Tinggi. Ihsan IPD Kulai

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mat rempit berkenaan melarikan dari semasa operasi khas sempena OP Selamat 20 Daerah Kulai yang dilaksanakan 21 April lalu hingga jam 5 petang semalam.

Katanya, operasi dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan dibantu oleh Unit Kereta Peronda (MPV) serta Cawangan Pengangkutan bertujuan mengekang kegiatan mat rempit di sekitar Kulai.

“Dalam operasi itu, seramai 57 lelaki berusia lingkungan antara 17 hingga 42 tahun telah berjaya dikesan lari menyembunyikan diri di dalam kebun kelapa sawit berhampiran.

“Semasa operasi dijalankan kebanyakan mat rempit itu telah sembunyi masuk ke dalam kawasan kebun sawit sekitar jam 3 pagi dan cuba untuk keluar melalui ‘jalan tikus’ yang telah dikepung sepenuhnya oleh pihak polis.

Segelintir pemuda mat rempit yang bersembunyi dalam kebun sawit untuk mengelak dicekup polis akhirnya tampil menyerah diri kerana tidak tahan kelaparan dan rindu juadah raya pertama dalam ops selamat 20 di Jalan Kulai-Kota Tinggi semalam. Ihsan IPD Kulai

“Akhirnya, pada jam lebih kurang 9 pagi semalam, satu persatu penunggang motosikal yang bersembunyi itu muncul dan menyerah diri disebabkan buntu kerana tidak tahan dengan keadaan di dalam kebun sawit yang panas ditambah pula ada yang menyatakan “lapar dan rindu juadah Hari Raya Pertama”,” kata beliau dalam satu kenyataan kejayaan tangkapan itu menerusi laman Facebook rasmi IPD Kulai pagi ini.

Tambah beliau, operasi selama 18 jam itu menyaksikan sebanyak 140 saman dikeluarkan.

Antaranya tidak memiliki lesen memandu, tidak mempunyai perlindungan insurans, lesen kenderaan motor tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, ubah suai ekzos, tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan kesalahan lain.

“Dalam masa sama polis juga berjaya menyita sebanyak 39 buah motosikal daripada kumpulan mat rempit itu dibawah Seksyen 64 APJ 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Hebat kan anak anak melayu yg ramai telah berjaya menjadi mat rempit. Rasa bangga kerana dapat melarikan diri dari tindakan polis. Mungkin juga berjaya dan BANGGA untuk masuk lokap polis. Tidak macam anak bangsa lain yg bangga dan berjaya melanjutkan pelajaran diluar negara.

  2. Jika kaum lain berjaya jangan berprasangka negatif kerana mereka berusaha untuk maju dalam kehidupan… kita sebagai umat Islam gagal mengamal kualiti hidup yang baik… mudah terpengaruh dengan perkara yang tidak baik yang membawa pada kerosakan diri…insaflah kembali ke jalan yang membawa kejayaan !!!

Comments are closed.