KUALA LUMPUR – Kenyataan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) yang menafikan dakwaan kaunter jamin ditutup awal Khamis lepas sehingga menyebabkan enam tertuduh terpaksa meringkuk di dalam penjara dipertikaikan peguam tertuduh.
Peguam mereka, Alvin Tan mempersoalkan kenyataan yang mendakwa penjamin tertuduh tidak ada dalam mahkamah ketika itu.
Susulan itu, Alvin menggesa pihak berkuasa memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa akan membuktikan kaunter ditutup awal pada Khamis.
Dakwa Alvin, kakitangan mahkamah berkata, ada ‘cut-off time’ sekitar jam 3 petang dan mendedahkan adanya arahan daripada pengurusan mahkamah Kuala Lumpur untuk menutup kaunter pada 4 petang.
“Kaunter telah ditutup meskipun keluarga enam lelaki terbabit mempunyai wang jaminan dan pergi ke kaunter sekitar 2.40 petang.
“Mereka diberitahu oleh para pegawai mahkamah bahawa kaunter sudah ditutup dan mereka tidak akan memproses sebarang jaminan.
“Saya cuba berbincang dengan para pegawai tetapi mereka bertegas tidak akan proses sebarang jaminan,” katanya kepada media.
Dakwa Alvin lagi, sebagai peguam mewakili enam tertuduh itu, beliau sudah memberitahu kakitangan mahkamah penjamin sudah ada di situ dan mempunyai wang.
“Yang tinggal hanyalah proses dokumentasi tetapi mereka enggan teruskan,” ujarnya.
Anak guamnya akan membuat akuan berkanun bagi menyokong dakwaan mereka.
Semalam PKPMP mendakwa dakwaan kaunter jamin ditutup awal Khamis lepas tidak benar sama sekali sebaliknya semua 10 tertuduh itu telah dibenarkan mahkamah untuk dijamin pada hari itu.
Namun hanya penjamin bagi empat tertuduh yang hadir untuk meneruskan proses ikat jamin pada hari berkenaan.
“Sehubungan itu, memandangkan dalam kes ini penjamin bagi keenam-enam tertuduh tidak dapat dikemukakan sehingga kaunter ditutup pada 4 petang iaitu waktu biasa penutupan kaunter sepanjang Ramadan, proses jamin bagi keenam-enam tertuduh tidak dapat disempurnakan,” kata PKPMP.
Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu pentadbiran yang mengganggu hak individu untuk diikat jamin mengikut undang-undang, berisiko melanggar prinsip kardinal.
Beliau menjelaskan, ini kerana hak untuk diikat jamin adalah hak asasi manusia dan berperlembagaan yang perlu kerajaan hormati tanpa sebarang persoalan.
Justeru atas dasar itu, katanya, isu berhubung dakwaan penutupan awal kaunter ikat jamin di sebuah mahkamah di sini pada Khamis lalu sehingga menyebabkan enam tertuduh terkandas di penjara, akan diteliti dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette
Enam tertuduh tidak dapat kemuka penjamin sehingga jam 4 petang – Mahkamah