PETALING JAYA – Polis sedang menjejaki seorang wanita warga Indonesia yang disyaki melakukan jenayah kelucahan melampau terhadap seoramng bayi menerusi rakaman video yang tular di laman media sosial pada bulan ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan daripada bekas majikan wanita itu yang dipercayai ibu bapa bayi tersebut pada Khamis lalu mengenai rakaman video perlakuan lucah seorang perempuan warga Indonesia bersama bayi kecil.
Katanya, hasil siasatan mendapati video berkenaan dirakam pada tahun 2022 lalu mula tular di media sosial pada awal April lalu.
“Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek wanita yang muncul dalam video berkenaan adalah bekas pembantu rumah kepada pengadu dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, semakan mendapati wanita itu sudah pulang ke negara asal pada tahun lalu.
Menurutnya, suspek pernah bekerja dengan majikannya lebih setahun setengah tetapi tidak dilanjutkan kontrak kerana mempunyai masalah disiplin.
“Polis kini sedang mengesan saksi-saksi kejadian ini bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas passport milik suspek wanita berkenaan juga mendapati rekod menunjukkan pemegang passport sudah keluar dari negara ini sejak 27 September 2020.
“Suspek dikenalpasti identitinya sebagai Nenobota Marisa dan berasal dari Indonesia,” ujarnya.
Ku Mashariman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor M Megenderan di talian 03-79662222 atau 017-3356810. – MalaysiaGazette