KUALA LUMPUR – Semua pihak seharusnya melakukan gencatan politik dan tidak menimbulkan perbalahan ketika umat Islam sedang meraikan sambutan Aidilfitri.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, rakyat perlu diberikan ruang secukupnya untuk meraikan hari raya tanpa pertelingkahan politik antara satu sama lain.
“Saya ingin merayu agar kesemua pimpinan politik membuat gencatan politik ketika umat Islam masih meraikan sambutan hari raya aidilfitri.
“Mengambil maklum pilihan raya negeri di enam negeri akan diadakan pada Jun dan Julai ini, namun bukan alasan untuk pimpinan termasuk ahli-ahli politik serang menyerang antara satu dengan lain.
“Rakyat Malaysia perlu diberikan ruang yang secukupnya untuk bergembira seketika bagi meraikan Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkarnain juga mengingatkan segelintir penganalisis politik untuk turut tidak membuat apa-apa kenyataan semasa tempoh bertenang ini.
“Gencatan ini amat penting bagi memberi ruang khususnya kepada rakyat Malaysia meraikan Aidilfitri dalam keadaan tenang sambil bergembira.
“Puasa 6 Syawal pun belum selesai sebaliknya ahli-ahli politik terus berpolitik.
“Rakyat dilihat agak bosan dengan situasi ini oleh sebab itu saya merayu berikan sedikit ruang yang secukupnya kepada seluruh rakyat Malaysia menyambut aidilfitri dengan penuh ketenangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette