KUALA LUMPUR – Takungan air di sebelah pagar Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan paip pecah bawah tanah antara punca utama kejadian tanah runtuh di pintu utama akademi yang terletak di Persiaran Tunku Syed Sirajuddin, di sini, pada tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya tidak dapat pastikan sama ada masih berlaku pergerakan tanah dan Unit Forensik Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menjalankan analisis di kawasan terbabit.
“Pada pukul 5 petang tadi sebelum hujan lebat, kerja penilaian telah dibuat pihak JKR dan mereka mendapati punca tanah runtuh disebabkan wujudnya takungan air di luar pagar akademi itu mungkin disebabkan hujan lebat sejak tiga hari lalu.
“Selain itu, terdapat kebocoran paip air di bawah tanah bangunan tersebut. Jadi itu antara hasil siasatan awal yang kita terima, walau bagaimanapun siasatan berhubung kejadian ini akan diteruskan hingga esok pagi dan seterusnya.
“Buat masa ini hujan lebat, jadi kerja-kerja penilaian tidak dapqt diteruskan sebab kita bimbang akan keselamatan petugas. Kita juga telah anjakan pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) di tempat yang lebih selamat iaitu di dalam kompaun Institut Integriti Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau lokasi kejadian, malam ini.
Tambah Eng Lai, semasa kejadian terdapat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas di luar pagar akademi dan mereka mendengar runtuhan tanah seterusnya melihat tanah di tepi pagar runtuh.
Ditanya sama ada akan berlaku pergerakkan tanah lagi, beliau tidak menolak kemungkin perkara itu akan terjadi berikutan hujan lebat pada sebelah petang.
“Petang tadi saya datang, tidak sampai setengah jam berdiri, nampak berlaku tanah runtuh sedikit demi sedikit. Tadi pun hujan lebat jadi saya percaya mungkin wujud pergerakkan tanah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
“Namun, penghuni-penghuni di dalam akademi telah diarahkan berpindah iaitu seramai 38 orang (MACA) termasuk juga penghuni bangunan sebelah 38 pekerja di Institut Integriti Malaysia berpindah ke kawasan selamat,
“Saya juga dimaklumkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup lubang tanah runtuh itu esok dengan kanvas bagi mengurangkan sebarang hakisan atau tanah runtuh yang selanjutnya, ” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan keputusan penilaian berhubung kejadian itu akan dimaklumkan esok.
Sehubungan itu, Eng Lai menasihati orang ramai agar tidak berkunjung atau hadir ke kawasan kejadian kerana bimbang akan keselamatan mereka.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Bomba Kuala Lumpur, E. Yogeswaran berkata, tanah runtuh yang berlaku di akademi tersebut tidak melibatkan bangunan sekitar dan jalan raya di situ.
“Semasa analisa size out yang kami buat, mendapati tiada mangsa di sekitar kawasan tersebut dan tanah runtuh di bawah itu pun tidak memberi impak kepada mana-mana struktur bangunan ataupun jalan raya,.
“Ini kerana kawasan kejadian ini berada di lereng bukit yang bawahnya hutan dan jaraknya untuk ke jalan di bawah itu agak jauh sekitar 400 hingga 500 meter,” ujarnya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.54 petang.
Susulan itu, seramai lapan pegawai serta anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul digerakkan ke lokasi kejadian.
Insiden itu menyebabkan sebuah pondok pengawal runtuh dan keluasan tanah runtuh dianggarkan 100×120 kaki persegi (kp) membabitkan 76 mangsa yang terdiri daripada 36 lelaki serta 40 wanita. – MalaysiaGazette