KUALA LUMPUR – China bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Malaysia dalam dasar-dasar berkaitan program pertanian, mewujudkan pasaran komoditi dan rantaian nilai makanan yang mampan serta penggunaan digitalisasi dan pertanian pintar dalam penghasilan beras dan bijiran.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China, Ma Youxiang ketika menerima kunjungan hormat Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Beijing, hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, Mohamad dan YouXiang berbincang mengenai cadangan kerjasama dua hala antara China dan Malaysia terutamanya dari segi pertanian moden serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Youxiang turut mengimbau kembali bahawa Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencapai persefahaman yang penting mengenai komuniti China-Malaysia yang diwujudkan secara bersama seterusnya melakar kerja untuk membina hubungan dua hala.
“Beliau juga berkata, kedua-dua negara perlu menjadikan persefahaman bersaka sebagai panduan untuk mencapai kerjasama dua hala yang lebih baik, meningkatkan kesejahteraan kedua-dua negara dan rakyatnya serta menyumbang kepada pengukuhan keamanan serantau dan global, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran,” kata Pejabat Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan dalam satu kenyataan, hari ini.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama China-Malaysia pada Jun ini.
Mesyuarat itu akan membincangkan usaha menggalakkan pelaburan pertanian, meningkatkan kerjasama dagangan pertanian dan menggalakkan pertukaran serta kerjasama dalam sains dan teknologi pertanian.
Perbincangan turut menyentuh tentang usaha menubuhkan empat kumpulan kerja teknikal mengenai penanaman, penternakan haiwan, sains dan teknologi serta perikanan di bawah rangka kerja kumpula kerja bersama itu.
Sementara itu, Mohamad berkata, China yang dianggap sebagai rakan baik Malaysia bukan sahaja telah mencapai kejayaan ekonomi yang memberangsangkan malah turut bersikap baik hati dan jujur kepada negara-negara yang berjiran.
Beliau berharap Malaysia dan China akan terus berkongsi masa depan dan kemakmuran bersama serta menyatakan komitmen negara ini untuk memperkukuhkan hubungan persahabatan dengan China pada tahun-tahun mendatang. – MalaysiaGazette