KUALA LUMPUR – Pas telah berubah secara total berbanding dahulu. Perjuangan parti itu didakwa penuh dengan retorik agama dan mempergunakan agama untuk mendapat kuasa.
Disebabkan itu, menurut Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, beliau tidak lagi menyokong parti itu.
Dakwanya, Pas dahulu mempertahankan kebenaran namun parti itu kini memperlekehkan kebenaran.
“Saya dibesarkan dalam keluarga Pas. Sehingga umur dewasa, saya masih menyokong Pas biarpun bukan ahli Pas. Asas ketertarikan saya mudah. Pas memperjuangkan keadilan Islam dan keadilan sosial.
“Namun, kini Pas sudah berubah total. Perjuangannya penuh dengan retorik agama, dan memperkudakan agama untuk mendapatkan kuasa.
“Nampak kegelojohan Pas memanipulasikan Islam untuk memburu kekuasaan. Sebarang perbezaan pendapat dengan pandangannya akan diserang secara berjemaah,” kata beliau.
Agus berkata, serangan Pas terhadap pihak yang tidak sependapat dengan parti itu dilakukan tanpa adab dan akhlak.
Parti itu akan memberikan pelbagai gelaran jelek dan karekter pihak yang menjadi musuh akan dicemarkan hingga akhirnya kekuatan mental dilumpuhkan dengan tuduhan menolak Islam.
Ketua Pengarah J-KOM itu berkata, beliau tidak selesa dengan politik Pas sekarang kerana pihak yang menegur dan mengkritik akan dianggap sesat dan jahat.
“Saya timbulkan isu air, sampah dan jalan sempit di Kelantan, penyokong Pas nafikan dengan pelbagai cemuhan.
“Menakjubkan, mereka bahagia dengan kekurangan yang ada asalkan ‘Pas perjuangkan Islam’.
“Bagi penyokong Pas, hanya mereka sahaja yang perjuangkan Islam. Bagi saya, ini wajah Pas yang jumud dan keliru,” kata Agus.
Agus berkata, tidak ada lagi kasih sayang dalam Pas dan yang tinggal hanyalah kebencian terhadap mereka yang berbeza dengan parti itu.
“Menyokong Pas mereka janjikan syurga dan menentang Pas mereka ugutkan dengan neraka.
“Saya fikir politik PAS sebegini perlu ditolak. Saya harap sangat anak muda dan pengundi yang mahukan negara kita maju dan harmoni menolak politik sebegini. Negara kita perlu aman untuk rakyatnya hidup sejahtera.
“Mujurnya, dalam PRU lepas kata-kata “Kito sudah cukop jumloh. Esok angkat sumpoh” tidak menjadi kenyataan. Alhamdulillah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook.-MalaysiaGazette