BANDAR PERMAISURI – Seorang remaja perempuan ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama keluarganya di Lata Changkah, Kampung Hulu Seladang dekat sini pada 12.15 tengah hari tadi.
Nor Alia Farhana Mat Zaid, 19, lemas selepas tergelincir dan tenggelam ketika mandi bersama lima sepupu perempuan dengan ditemani bapa saudara mereka.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata mangsa yang berasal dari Seri Bandi, Kemaman berjaya dibawa naik ke darat oleh bapa saudaranya dengan bantuan ahli keluarga lain.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan selanjutnya. Polis ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air atau di mana sahaja,” katanya.
— BERNAMA