KUALA LUMPUR – Sebuah tadika di Seksyen 30, Shah Alam, Selangor musnah dalam kebakaran tengah hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Selangor Morni Mamat berkata, bilik gerakan operasi telah menerima aduan mengenai kebakaran di Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) pada jam 12.37 tengah hari.
Katanya, bertindak atas panggilan kecemasan itu, anggota dan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Kota Anggerik, Andalas dan Pelabuhan Klang bergegas ke tempat kebakaran itu.
“Pemerhatian di lokasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah sekolah Pasti dua tingkat berukuran 40 x 80 kaki persegi dan bangunan jenis kelas B.
“Ketika bomba sampai di lokasi, api telah merebak ke bangunan kedai dan rumah bersebelahan sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, anggota bomba dari empat balai bomba yang berada di lokasi berjaya mengawal api pada jam 1.22 tengah hari.
“Setakat ini tiada mangsa terlibat dilaporkan dalam kejadian kebakaran itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette