KUALA LUMPUR – Dua pemandu bas ekspres yang membawa kenderaan sambil menggunakan telefon bimbit dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dalam Ops Hari Raya Aidilfitri 2023.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kesalahan kedua-dua pemandu itu dikesan oleh anggotanya yang menyamar sebagai penumpang dalam operasi pada 17 dan 18 April lalu.
“Dua pemandu itu masing-masing dikesan ketika dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu ke Shah Alam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Khairul, pihaknya mendapati pelbagai kesalahan dikesan iaitu penggunaan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau empat jam berterusan, tatacara kelakuan pemandu dan kesalahan teknikal.
Tambah beliau, JPJ Selangor telah mengambil tindakan saman terhadap dua pemandu berusia lingkungan 40-an itu serta pemilik kenderaan tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga menambah, kesalahan lain yang turut dikesan terhadap bas lain ialah memotong di garisan berkembar, menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan selain tatakelakuan pemandu.
Katanya, para pemandu diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
“Langkah dan saranan ini adalah demi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang selamat tiba ke destinasi dituju,” ujarnya. – MalaysiaGazette