SHAH ALAM – Hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Hulu Selangor yang belum dimuktamadkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, selain kerusi DUN Hulu Bernam dan Kuala Kubu Bharu, hanya DUN Batang Kali yang masih dibincangkan kerana kerusi berkenaan ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Hulu Bernam sudah tentu BN, di Kuala Kubu Baru (adalah) kerusi DAP cuma di (DUN) Batang Kali belum ditentukan kerana kerusi itu milik Bersatu.
“Jadi kita serahkan kepada pucuk pimpinan dan kami akan bersatu di bawah naungan kerajaan perpaduan untuk bersama hadapi PRN,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambah bekas ADUN Batang Kali itu lagi, UMNO sedia untuk bertanding di kerusi berkenaan sekiranya diberikan peluang oleh pucuk pimpinan parti dan kerajaan.
Jelas beliau, kesediaan itu adalah bagi memastikan gabungan kerajaan perpaduan dapat memenangi ketiga-tiga kerusi DUN di Hulu Selangor.
“UMNO bahagian, kita sentiasa berlapang dada sekiranya diberikan peluang untuk bertanding di situ, kita bersedia.
“Apapun kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk tentukan. Fokus kita menang dahulu ketiga-tiga kerusi tersebut sebelum fokus kearah yang lain,” katanya lagi.
Ditanya samada beliau bersedia untuk bertanding di kerusi berkenaan, Mohd Isa berkata, ia terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
“Itu terpulang kepada pucuk pimpinan, kami (UMNO) akan sokong,” ujar Mohd Isa lagi.
Kerusi DUN Batang Kali sebelum ini diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya, Harumaini Omar gagal hadir tanpa kebenaran semasa persidangan dewan DUN Selangor melebihi enam bulan sejak 28 Julai tahun lalu.
Kerusi itu pernah dimenangi Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 8,315 undi.
Harumaini memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 yang diperolehi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.
Beliau kemudiannya meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Pejuang Tanahair. – MalaysiaGazette