Wan Azlan Wan Mamat.

SUBANG – Nasib seorang kanak-kanak perempuan yang bermain dengan adiknya berakhir  tragedi selepas  maut terjatuh dari rumahnya di bangunan bertingkat di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pada pukul 11.35 pagi, pihaknya menerima panggilan dari Lans Koperal Farid yang memaklumkan seorang kanak-kanak terjatuh dari tingkat 11, Kuaters Polis USJ 8 di Subang Jaya.

Katanya, siasatan mendapati simati berumur empat tahun dan anak pertama daripada dua beradik manakala ibu dan bapanya merupakan anggota polis yang tinggal di kuarters tersebut.

“Soal siasat  mendapati, sebelum kejadian beliau berada di bahagian dapur manakala anak-anak beliau sedang bermain di ruang tamu.

“Tiba-tiba ibunya telah terdengar bunyi pintu bilik bahagian tengah tertutup dengan kuat sebelum beliau cuba membuka pintu dari luar tetapi gagal kerana pintu telah terkunci,” katanya dalam kenyataan  malam ini.

Tambah Wan Azlan, pada masa yang sama, wanita berkenaan mendengar suara anaknya yang menjadi mangsa itu meminta tolong.

Katanya, ibu mangsa kemudian telah pergi ke bilik bersebelahan dan melihat dari luar tingkap rumah sebelum terkejut selepas mendapati anaknya telah terjatuh ke bawah.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati simati telah terjatuh dari tingkat 11sebelum pihak forensik dan pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Petaling sampai di tempat kejadian dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi.

“Siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasi di bawah siasatan laporan mati mengejut (SDR).

“Mayat simati telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi megetahui punca kematian,” tegasnya. – MalaysiaGazette