Kanak-kanak mengambil kesempatan untuk bersalam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya terdapat ‘Little Napoleon’ dalam pejabat beliau.

Anwar berkata, beliau mengambil sikap tersebut bagi menghorhati bulan Syawal serta mahu meredakan hubungan antaranya dengan Muhammad Sanusi.

“Tak apalah saya selama ini tidak pernah jawab Menteri Besar Kedah dan kita nak pergi Kedah. Biar keadaan tenang sedikit. Ini silaturahim bulan Syawal. Saya ambil sikap begitu. Saya tidak jawab,” katanya.

Beliau ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi berkata, hubungan keruh antara negeri itu dan Putrajaya bukan berpunca daripada Anwar sebaliknya ada “Little Napoleon” dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mahu memecahbelahkan hubungan kerajaan persekutuan dan negeri.

Muhammad Sanusi mendakwa “Little Napoleon” itu bertanggungjawab menghantar jemputan rasmi untuk acara perdana menteri dengan memetik contoh Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) dan dakwaan penyingkirannya daripada Majlis Kewangan Negara.

“Saya faham betapa sibuknya pemimpin, jadi kebanyakan perkara kecil diuruskan pegawai ini tetapi mereka bertindak seperti ‘Little Napoleon’. Niat mereka untuk menjadikan bos mereka kelihatan baik, tetapi cara mereka lakukannya mungkin mengundang padah,” katanya.

Sementara itu, Anwar percaya penganjur diketuai Datuk Seri Saifuddin Nasution menjemput Sanusi untuk menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani yang akan berlangsung esok di Kedah.

Ini kerana Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah telah berkenan untuk mencemar duli hadir ke majis itu.

“Datuk Saifuddin kata, semua persiapan baik dan Tuanku Sultan Kedah akan berangkat hadir jadi ini menunjukkan semua pihak hadir.

“Saya difahamkan dijemput kerana tuanku pun berangkat, jadi menteri besar pun dijemput. Setakat yang saya difahamkan oleh penganjur Datuk Seri Saifuddin,” kata Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast