SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan akan mendengar bantahan nelayan yang menentang Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak kerajaan turut telah mengemukakan kebimbangan terutama golongan nelayan berikutan pelaksanaan projek tersebut.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang, menurut Perdana Menteri akan mengemukakan pejelasan berhubung projek berkenaan.
“Keputusan dia ialah EIA meluluskan pada prinsipnya dengan 71 syarat. Jadi kita telitilah.
“Kita sudah kemukakan beberapa kebimbangan terutama pihak nelayan dan penduduk di situ sama ada nelayan pantai Melayu dan beberapa Cina di Gertak Sanggul. Saya arif tetapi biarlah proses berjalan.
“Kalau mereka ingin kemukakan bantahan kita akan dengar. Biar kerajaan negeri berikan beberapa penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh hari ini.
Beliau ditanya mengenai bantahan nelayan terhadap projek berkenaan yang menyaksikan penambakan besar-besaran kawasan laut hingga menjejaskan mata pencarian.
Media hari ini melaprokan, kira-kira 6,000 nelayan di negeri itu sedaya upaya akan menentang PSI.
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) Ibrahim Che Ros dilaporkan berkata, pihaknya kecewa dengan kelulusan EIA.
“Tidak mungkin untuk kami menerima projek itu, mengetahui yang ia akan menjejaskan kehidupan dan mata pencarian kami, kami akan melawan PSI sehingga nafas terakhir kami.
“Apa yang sudah jadi kepada kebanyakan suara, malah dalam kalangan pemimpin kita sekarang yang sebelum ini menentang projek itu? Kenapa sekarang senyap dan hanya memekakkan telinga?” katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chon Kon Yeow sebelum ini mengumumkan bahawa Pulau Pinang akhirnya mendapat kelulusan EIA untuk projek penambakan PSI, dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi pada Rabu lalu.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: