Projek PSI sebelum ini terdiri daripada tiga pulau namun kini dikecilkan kepada satu pulau.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak dapat menghentikan sebarang bantahan yang disuarakan parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu mempolitikkan isu Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Sebaliknya, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya terbuka dalam menerima pandangan dan telus dalam membangunkan projek tersebut.

Kata beliau, cabaran sebenar PSI bukan terletak pada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) tetapi ia bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuk tempoh untuk memulakannya.

chow kon yeow
Kon Yeow

“Kita optimis bahawa pembangunan PSI ini bakal membawa transformasi kepada seluruh rakyat Pulau Pinang.

“Tidak ada apa-apa perkara yang hendak disembunyikan dalam projek PSI ini, tambahan pula makluman projek ini sudah dinyatakan dalam manifesto pilihan raya terdahulu.

“Malah, kita juga telah memenuhi keperluan dari segi teknikal semasa mengemukakan permohonan berkaitan termasuk maklum balas agensi-agensi terlibat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, butiran mengenai 71 syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kelulusan Laporan EIA PSI boleh dirujuk melalui agensi Kerajaan Negeri iaitu Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC).

“Terdapat 17 perkara mengandungi kesemua 71 syarat yang ditetapkan termasuk frasa yang menyatakan bahawa penggerak projek hendaklah mematuhi arahan dan syarat-syarat tambahan yang dikenakan dari semasa ke semasa.

“Turut dikemukakan kawalan dan pengawasan garis pantai dan hidrografi; pengendalian bahan kimia, petroleum dan bahan buangan; kawalan dan pencegahan serta kawalan keselamatan dan kecemasan.

“Perkara berikutnya adalah Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang perlu disediakan mengikut format yang ditetapkan dalam Laporan EIA dan perlu dikemukakan kepada JAS sebelum sebarang kerja-kerja pembangunan dimulakan,” jelas Kon Yeow.

Semalam, Sahabat Alam Malaysia (SAM) meluahkan rasa kecewa susulan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi kelulusan untuk Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) walaupun ia ditentang banyak pihak. – MalaysiaGazette