Penyanyi, Datuk Hattan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menggesa penyanyi, Datuk Hattan membuat permohonan maaf secara terbuka atas tindakannya menempelak penyampai berita wanita dari Astro Awani ketika siaran secara langsung semalam.

Presiden NUJ, Farah Marshita Abdul Patah berkata, tindakan memalukan petugas media sama ada artis, ahli politik mahu pun menteri harus dihentikan segera.

“Pendirian NUJ untuk saling menghormati, tidak kiralah senior mahu pun profesion. Setiap individu mempunyai hak dihormati dan ditegur dengan baik sekiranya melakukan kesalahan.

“Dalam isu membabitkan penyampai berita Astro Awani, NUJ menggesa Hattan bertindak lebih profesional sekiranya tidak mahu menjawab soalan diajukan.

Farah berkata, tindakan memulakan rantaian chain of events di mana orang lain juga boleh bertindak kurang ajar dengan petugas media selepas ini.

“Belajarlah saling menghormati dan tunjukkan teladan baik terutama kepada generasi muda.

“Sehubungan itu, NUJ menggesa Hattan memohon maaf secara terbuka kerana tindakannya menegur ketika siaran langsung bukan sahaja memalukan penyampai berita, malah dilihat memperlekehkan tugas pengamal media.

“Dalam hal ini, NUJ memuji penyampai berita berkenaan yang kekal tenang dan profesional,” katanya.

Tambah Farah, tidak salah saling bermaafan apatah lagi pada bulan Syawal ini.

“Industri hiburan di Malaysia tidak besar dan pastinya kita saling memerlukan suatu hari nanti,” katanya.

Terdahulu, nama Hattan panas dan menjadi bahan perdebatan netizen selepas insiden menempelak penyampai berita Astro Awani kerana mendakwa tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan.

Menerusi rakaman video yang tular, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 59, dihubungi oleh penyampai berita wanita menerusi siaran secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan ‘makan dalam’

Soalan diajukan kepada penyanyi Memburu Rindu itu susulan pemergian vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael yang menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor akibat sesak nafas kira-kira jam 8.41 malam kelmarin.

Bagaimanapun, keadaan menjadi agak tegang apabila Hattan bertanyakan semula penyampai berita itu mengenai sejarah dan siapa yang menulis lirik lagu kumpulan itu.

Dalam nada serius, Hattan mengulangi semula soalan dan menegur penyampai berita yang didakwanya tidak membuat persediaan.

Lebih memburukkan keadaan apabila penyampai berita itu menyebut nama komposer lain sebagai penulis lagu kumpulan XPDC.

Kecewa dengan situasi itu, Hattan sempat ‘sekolahkan’ penyampai berita itu sebelum bertindak mematikan talian.

Susulan kejadian itu, akaun Instagram Hattan diserang netizen hingga menyebabkannya terpaksa menukar akaun media sosialnya itu kepada privasi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Sekolahkan’ pembaca berita, netizen kecam Hattan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

11 Komen

  1. bila kononnya sudah digelar otai/lagenda mulalah rasa diri itu gah…dia sudah lupa ketika berhingus dalam industri…golongan mereka-mereka ini lah dia memerlukan…

  2. Senang jer. Korang kan persatuan wartawan. Boikot jer semua berita psl mamat sombong tu. Sampai tak tau bezs samada ditemuramah berita atau jd juri program tv. Cakap ikut sedap ja.

  3. Tarik gelaran dato kerana sikap kurang ajar dan tidak proffesional terhadap pengamal media.

  4. Wartawan zaman sekarang bebal…buatlah kajian dulu sebelum bertanya soalan..nampak sangat pemalas

  5. dia dah sudi layan astro tu bersyukur laa. Ngko tanya itu ini, dia dah layan & jwb itu ini. sekali dia tanya balik, ngko blur, xtahu!??
    Astro bongok!!!

  6. Apo yg berlaku adolah kolomahan memasing (Maksud ea kodua2 individu). Apo yang Dato’ Hattan koba tupun ado boto ea. Cumo nada ponyampaian Dato’ Hattan kurang manih sikit. Sudahlah, jgnlah nk panjang2kan. Settle down jolahhhh.

  7. Aku support Dato’ Hattan.Dlm apa jg keadaan kita mesti tegas dan berani dlm mempertahankan hak/jatidiri sendiri.Nampak sgt wartawan tu cetek ilmu.Mmng patut la kena sekolah kan balik oleh Dato’ Hattan.Wartawan ni sepatutnya lebih arif dlm segala hal kerana kerjaya mereka bukan setakat bertanya ttpi lebih kepada memahami situasi apa yg sedang berlaku.

  8. Maaflah, saya mmg kurang berkenan dgn hattan, lagu pun yg familiar dua tiga lagu je. Bila bercakap sombong angkuh bagi kat dia. Bajet paling otai. Ataupun bagi mereka yg bergelar dato’ ni mmg auto berlagak lupa diri nak mampus

Comments are closed.