ALOR SETAR – Orang ramai membanjiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Malaysia Madani bersama Perdana Menteri serta jemaah menteri di Hotel Raia, di sini, hari ini.
Majlis yang dijadualkan bermula pada jam 10 pagi itu dimulakan lebih awal iaitu pada jam 9.30 pagi selepas ramai rakyat sudah mula beratur seawal jam 8.30 pagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada jam 9.50 pagi sebelum beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta barisan jemaah menteri.
Buat julung kalinya, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri sempena sambutan Aidilfitri 2023 diadakan di Kedah.
Kira-kira 25,000 pengunjung termasuk dari negeri jiran seperti Perlis, Pulau Pinang dan Perak dijangka menghadiri rumah terbuka tersebut.
Majlis berlangsung di Grand Ballroom Hotel Raia yang mampu menampung kapasiti seramai 2,000 orang termasuk tetamu kenamaan.
Sebanyak lima buah khemah yang dilengkapi skrin besar turut disediakan buat pengunjung manakala lebih 30 khemah untuk 3,000 pengunjung duduk menikmati juadah disediakan .
Selain itu, sebanyak 15 gerai makanan disediakan penganjur bagi hidangan Aidilfitri
Bagi memastikan kelancaran majlis dan keselamatan pengunjung, pasukan keselamatan dan agensi berkaitan seperti Polis, Rela, dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pengunjung. – MalaysiaGazette