Ahli Parlimen Ampang ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 di Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 APRIL 2023.

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Batu Tiga, Rodziah mengakui lebih selesa jika diberi pilihan mempertahankan kerusi kawasan yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka selewat-lewatnya Ogos ini.

Beliau yang kini Ahli Parlimen Ampang  bagaimanapun menyerahkan apa juga keputusan yang akan dibuat pucuk pimpinan PKR sama ada dicalonkan semula atau tidak pada PRN nanti.

Menurutnya, apa yang penting, beliau sudah sudah berkhidmat di DUN Batu Tiga selama 15 tahun dan mengenali ramai rakyat di kawasan itu.

“Kalau tanya, saya cukup puas hati berkhidmat 15 tahun di DUN Selangor dan kalau pihak pimpinan ingin saya berkhidmat lagi dengan sedikit memiliki pengalaman yang ada, ia boleh memberi input kepada saya di Parlimen.

“Saya tiada komen akan bertanding DUN di bawah Parlimen Ampang kerana di mana-mana tiada masalah tapi untuk lebih mudah biarlah di DUN Batu Tiga sebab saya sudah serasi dengan masyarakat dan kalau di Ampang saya boleh beri nafas baharu DUN di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Shah Alam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan DUN Kota Anggerik.

Beliau diminta mengulas sama ada mempertahankan DUN Batu Tiga pada PRN nanti selepas menjadi Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Pada PRU15, Rodziah berjaya menewaskan Datuk Zuraida Kamaruddin untuk memenangi kerusi Parlimen Ampang di bawah tiket PH apabila  berjaya memperoleh undi sebanyak 56, 754 undi menewaskan lapan calon lain yang bertanding.

Zuraida selaku penyandang hanya memperoleh 4, 589 undi.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast