JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas melecur 90 peratus selepas bilik di bahagian tingkat atas kediamannya di Taman Pelangi Indah, di sini, terbakar, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Saifulbahri Safar berkata, wanita berusia 60 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail dengan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.11 pagi tadi sebelum 14 orang anggota digegaskan ke lokasi kejadian.
“Dalam kejadian itu, anak perempuan mangsa yang berusia 36 tahun turut melecur kira-kira dua peratus di tapak tangan serta dagu dan menerima rawatan di hospital yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air tangki pam jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Operasi berjaya ditamatkan sepenuhnya pada 6.02 pagi tadi, kata Saifulbahri. – Bernama