MELAKA – Kerajaan negeri digesa segera memperbaiki kerosakan lantai di kawasan utama tumpuan pelancong, Gereja St Paul, di Bukit Melaka, Banda Hilir di sini demi keselamatan pelancong.
Beberapa pelancong yang ditemui kesal apabila berlaku kerosakan terutamanya pada struktur lantai di lokasi pelancongan berusia lebih 500 tahun itu sekali gus menjejaskan imej Melaka.
Pelancong dari Lumut, Perak, Roslan Mohd Ariff, 47, berkata, walaupun kerosakan itu tidak begitu ketara, namun ia berisiko menyebabkan kehilangan jiwa terutamanya kepada warga emas yang naik ke Bukit St Paul itu yang kini dikembalikan kepada nama asalnya, Bukit Melaka.
“Tadi waktu mendaki anak tangga, saya lihat ada beberapa jubin lantai retak dan pecah menyebabkan bucu tajam yang terbentuk boleh membahayakan pelancong sekiranya mereka tidak lebih berhati-hati.
“Jadi saya harap, kerosakan ini dapat segera dibaiki sebelum berlaku tragedi yang boleh menjejaskan imej antara lokasi pelancongan tertua di negeri bersejarah ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pandangan sama dikongsikan pengunjung dari Sarawak, yang turut berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan berkala di kawasan gereja berkenaan.
“Selain kerosakan pada lantai, saya tengok jubin juga agak licin terutama pada waktu hujan dan ini menambahkan risiko kecederaan sekiranya pelancong tergelincir.
“Saya lihat, jubin yang pecah ini berpunca daripada mendapan tanah dan untuk langkah panjang mungkin kerajaan perlu kaji akan risiko berlaku tanah runtuh,” katanya.
Sementara itu, beberapa peniaga di sekitar Gereja St Paul yang dibina Portugis pada 1520 itu berkata, masalah keretakan jubin itu sudah beberapa kali dibaik pulih sebelum ini namun kembali berulang sejak enam bulan lalu. – MalaysiaGazette.