LIPIS – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mensasarkan sekurang-kurangnya 400 anak orang asli di seluruh negara akan memasuki universiti awam dan swasta pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya juga bersedia menerapkan pelbagai program pendidikan kepada orang asli di mana masyarakat itu mempunyai potensi besar dalam mencapai kecemerlangan.
”Keberadaan golongan masyarakat orang Asli juga tidak boleh diremehkan. Mulai pada tahun ini saya melakukan beberapa perubahan untuk masyarakat orang Asli.
”Jika tahun lepas sasaran 300 dan capai lebih dari itu maka tahun ini sasarannya sekurang-kurangnya 400 anak masyarakat orang Asli memasuki universiti.
”Dan InsyaAllah saya akan berbincang dengan Datuk Seri KSU anak-anak orang asli memasuki universiti menerusi Jakoa akan diberikan saguhati RM1,000 tiap tiap seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Dewan Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan di sini.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya akan meneruskan bantuan fasiliti seperti bekalan air, elektrik dan infrastruktur kepada masyarakat orang asli selain meneruskan bantuan membina rumah baharu dan menaik taraf rumah untuk keselesaan masyarakat itu.
”Negeri Pahang mempunyai pembangunan dalam industri dan sektor pelancongan, namun pembangunan fizikal perlu selaraskan pembangunan spiritual, kita mahu soal lahiriah diselarikan dengan batiniah.
”Peruntukan berjumlah RM11.08 bilion untuk pembangunan di perkampungan orang asli di pedalaman dan luar bandar supaya mereka berpeluang menikmati pelbagai kemudahan dalam sektor ekonomi dan pendidikan seperti kawasan lain.
“Kerajaan akan memberikan keutamaan kemudahan bekalan air dan elektrik serta pembinaan rumah yang tersusun supaya mereka berpeluang serta selesa bekerja dan menikmati pembangunan ekonomi setempat,” katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid melakukan lawatan kerja ke Pusat Tenun Pahang Diraja dan Transit Pesakit Orang Asli di RPS Betau,Lipis. – MalaysiaGazette