Tiga paip PVC yang diubahsuai menjadi bahan letupan menggunakan alat kawalan jauh telah ditemui di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Foto: Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Polis memburu dua lelaki yang dipercayai dapat  membantu siasatan berhubung insiden letupan kecil yang berlaku di hadapan sebuah kedai di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut daripada seorang pengadu lelaki yang mendakwa berlaku insiden letupan hadapan kedainya kira-kira jam 6 pagi.

“Berdasarkan laporan polis pengadu, siasatan awal mendapati insiden letupan itu berlaku hadapan kedai pengadu itu yang terletak di Tiara Mutiara 1 Off Jalan Puchong, Jalan Klang Lama, di sini.

“Hasil siasatan pasukan di lokasi kejadian itu telah menjumpai tiga paip PVC berwarna putih yang telah diubahsuai menjadi bahan letupan.

“Pemeriksaan pada paip PVC menjumpai alat Improvised Explosive Device (IED) kawalan jauh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Paip PVC yang diubahsuai sebagai bahan letupan dengan alat kawalan jauh ditemui dalam semak hadapan kedai di Jalam Klang Lama, Kuala Lumpur. Foto: Ihsan IPD Brickfields

Amihizam menambah, bomba, Unit Pemusnah Bom dan Jabatan Forensik polis dikerah ke lokasi bagi menjalankan siasatan .

Kata beliau, pihaknya menjumpai serpihan letupan di tempat kejadian dan tiga kesan cap jari diperoleh daripada siasatan yang dilakukan.

Jelas beliau semakan terhadap Kamera Litar Tertutup (CCTV) di tempat kejadian menemui pergerakan imej dua suspek lelaki.

“Tiada pihak yang mengalami kecederaan dalam insiden itu, sebaliknya sebuah lampu jalan dekat lokasi kejadian rosak akibat letupan kecil tersebut,” ujarnya sambil menambah motif kejadian masih disiasat.

Menurut Amihizam, kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast