Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Datuk Zulkifli Yaacob (kanan)
KUANTAN – Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob hari ini dilantik sebagai  Setiausaha Kerajaan Pahang bagi  menggantikan Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak yang tamat kontrak perkhidmatan pada 27 April lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Zulkifli yang berpengalaman selama 31 tahun diharapkan dapat membantu menguruskan pentadbiran negeri bagi meneruskan kesinambungan dan kemakmuran Pahang.
”Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Dato’ Indera Zulkifli Yaacob, saya yakin dengan pengalamannya yang luas dan keupayaan beliau untuk menggalas jawatan ini.
”Insya Allah beliau mampu melaksanakan segala perancangan pembangunan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Zulkifli menzahirkan rasa kesyukuran diberi kepercayaan dan berpeluang memberi khidmat sebelum usia pesaraannya.
”Ini amanah yang Allah kurniakan di hujung perkhidmatan saya. Saya akan bekerja sebaik mungkin sehingga hari akhir perkhidmatan.
”Sudah tentu saya akan meneruskan perancangan yang direncanakan oleh kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini,” ujarnya.
Zulkifli yang dilahirkan pada 8 April 1964 mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Convent Cameron Highlands, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, dan Sekolah Menengah Teknik Kuantan.
Beliau yang membesar di Kuala Lipis berkelulusan dari University Of Wales, United Kingdom dalam bidang Master Of Science In Urban Planning (1997) telah memulakan khidmatnya pada 1989 sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Jerantut.
Zulkifli pernah menjawat jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada 2010. – MalaysiaGazette