PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan terus memantau keadaan cuaca panas yang sedang melanda global, kata Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.
Katanya, di Malaysia suhu agak tinggi iaitu mencecah 35 hingga 40 darjah selsius menyebabkan beberapa insiden, antaranya strok haba dan kematian kanak-kanak 11 tahun di Kelantan.
“Apa-apa gejala berkait strok haba atau cuaca panas, contohnya seseorang itu mungkin rasa pitam, mungkin rasa nak pengsan, kelesuan, keletihan atau suhu badan tinggi maka berjumpa segera dengan doktor untuk rawatan segera.
“Ada juga beberapa insiden dikaitkan dengan cuaca panas sebenarnya menerusi laporan kesihatan menunjukkan ia sebenarnya disebabkan simptom penyakit yang dihadapi seseorang pesakit.
“Apapun kita sedang memantau rapi situasi cuaca panas ini dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di seluruh negara dalam memastikan anak-anak di sekolah dipantau dan diambil perhatian,” katanya selepas majlis Pelancaran Sitcom Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), di sini, hari ini.
Berikutan itu, Zaliha menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti luar sekiranya tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Tambah beliau, suhu tinggi juga boleh mengakibatkan dihidrasi kerana kekurangan air dalam badan dan apa yang boleh dilakukan ialah dengan banyak minum air.
Selain itu, menurut Zaliha, pakai pakaian yang warnanya cerah bagi mengelak penyerapan haba. – MalaysiaGazette