KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Op Manis khusus bagi menangani isu kekurangan gula di Kelantan dan Terengganu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi khas di dua negeri itu dilaksanakan selama seminggu bermula hari ini.

Beliau berkata, antara objektif lain Op Manis ialah bagi memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh penjual tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik oleh pengguna yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan bahan itu di pasaran.

“Op Manis juga kita tumpu untuk lihat jika ada elemen menyorok gula oleh penjual dan aktiviti penyeludupan di sempadan Kelantan.

“Pasukan penguat kuasa KPDN di Kelantan dan Terengganu akan buat pemantauan secara terperinci bagi memastikan bekalan gula sampai kepada pengguna seperti dijadualkan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa memantau bekalan gula di sebuah gudang pemborong di Gong Badak di sini hari ini.

Menurut Azman, masalah kekurangan gula yang dilaporkan berlaku hampir dua minggu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Beliau berkata, syarikat pemborong-pemborong di Kelantan dan Terengganu sudah mula menerima bekalan daripada dua syarikat pengilang gula iaitu MSM dan CSR.

Justeru, beliau mengingatkan pemborong supaya mengagihkan bekalan dengan cepat termasuk di kawasan luar bandar.

“Pemborong yang dapat bekalan (gula) tolong edar dengan segera dan beri penekanan kepada pelanggan biasa. Peruncit pula jangan sorok bekalan dan jual dengan harga tinggi seperti di Kelantan.

“Kita dah ambil tindakan kes terhadap premis di Kelantan yang melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Katanya, KPDN menerima 11 aduan atas pelbagai kesalahan termasuk menyorok bekalan, menjual dengan harga mahal dan sebagainya di Kelantan. – Bernama